JOHN BRINKLEY | Doktor kontroversi yang pindahkan testis kambing ke dalam tubuh manusia untuk rawat lemah tenaga batin

Dari Penulis

Pada era 1920-an sehingga 1930-an, pernah wujud satu pembedahan aneh yang didakwa boleh mengatasi masalah ‘mati pucuk’ dialami kaum lelaki ketika itu.

Apa yang aneh, pembedahan itu adalah dengan memasukkan kelenjar testis kambing ke dalam skrotum lelaki. Ya, bahasa mudahnya ‘telur’ kambing itu dimasukkan ke dalam ‘telur’ kaum lelaki yang menghadapi masalah seksual.

Kedengaran pelik, namun entah bagaimana ramai yang percaya dengan rawatan tersebut sehingga pencetus rawatan itu, John Brinkley menjadi seorang jutawan.

Siapa John Brinkley, lelaki yang memindahkan testis kambing ke dalam tubuh manusia ini?

John Brinkley.

Namanya John Romulus Brinkley, lahir di sebuah pekan kecil di North Carolina, Amerika Syarikat. Ayahnya, John Richard Brinkley, hanya seorang lelaki miskin yang tinggal di kawasan pergunungan dan bekerja sebagai pengamal perubatan. Ayahnya pernah menjadi medik untuk pasukan tentera semasa Perang Saudara Amerika meletus.

Selepas menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun, Brinkley bekerja sebagai penghantar surat dan operator telegraf. Namun, cita-citanya mahu menjadi doktor.

Pada 1908, Brinkley berpindah ke Chicago dan mendaftar di Bennett Medical College, sebuah institusi yang tidak diiktiraf. Di situlah dia mula terdedah kepada teori ekstrak kelenjar dan kesannya terhadap tubuh manusia.

Selepas tiga tahun belajar di kolej itu, Brinkley terpaksa berhenti kerana masalah kewangan dan tidak mampu membayar yuran. Disebabkan tiada ijazah sah, Brinkley telah membeli sijil palsu dan memulakan perniagaan bersama rakan kongsinya dengan menjual ‘ubat elektrik dari Jerman’.

Kononnya ia hasil teknologi perubatan moden Eropah. Hakikatnya, cecair itu hanyalah air biasa yang diwarnakan, tanpa sebarang kandungan ubat atau bahan aktif.

Pesakit akan disuntik dengan cecair tersebut sambil diberitahu bahawa arus elektrik di dalamnya mampu memulihkan tenaga batin dan menguatkan tubuh. Istilah ‘elektrik’ digunakan semata-mata untuk mengelirukan orang ramai, memanfaatkan kepercayaan ketika itu bahawa elektrik ialah simbol kemajuan sains dan penyembuhan moden.

Namun, penipuan itu tidak tahan lama. Perniagaannya runtuh, meninggalkan banyak hutang dan ramai yang marah dengannya.

Setelah itu, Brinkley berpindah-randah dan melakukan amalan perubatan dengan lesen yang meragukan. Kemudian dia kembali ke Kansas City, bekerja sebagai doktor di sebuah kilang pemprosesan daging. Tugasnya hanya untuk merawat kecederaan kecil pekerja.

Di situ dia memerhati anatomi haiwan sembelihan dan mendengar kepercayaan popular bahawa kambing ialah haiwan paling sihat, memberinya idea yang kemudian mengubah haluan hidupnya.

Buka Klinik

Pada 1917, Brinkley membuka sebuah klinik di Milford, Kansas. Jasanya semasa pandemik influenza 1918 dikenang penduduk setempat. Semasa wabak influenza menyerang, Brinkley aktif merawat penduduk Milford ketika pekan itu kekurangan doktor dan kemudahan perubatan, menjadikannya dikenang sebagai figura penting pada waktu krisis.

Namun kemasyhuran yang dinikmati Brinkley sebenarnya datang melalui pembedahan kelenjar kambing.

Menurut kisah Brinkley, seorang petani mengadu mengalami masalah lemah tenaga batin. Lalu tercetus idea untuk menjalankan eksperimen dengan memasukkan kelenjar testis kambing ke dalam testis petani itu yang dikatakan sebagai penawar masalah tersebut.

Ada versi mengisahkan keluarga petani itu mendakwa Brinkley menawarkan wang untuk menjalani ekperimen itu. Apa pun kisah di sebalik tabir, yang menghairankan kisah pembedahan itu yang dikatakan berjaya dalam waktu singkat telah tersebar luas.

Tidak lama kemudian, orang ramai berduyun-duyun datang ke klinik Brinkley kerana mahu mendapatkan rawatan lemah tenaga batin. Yang lelaki menjalani pembedahan menerima testis kambing, manakala wanita pula menerima ovari kambing. Brinkley juga pernah menjemput media datang ke kliniknya, menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan tersebut dilakukan.

Benarkah pembedahan itu berkesan? Brinkley akan  mengambil kelenjar testis daripada kambing yang masih muda, berusia sekitar enam minggu yang saiznya hanya sekecil kacang. Kemudian, dia membuat hirisan pada skrotum lelaki dan menyelitkan testis kambing itu di bawah lapisan kulit sebelum dijahit semula. Bukannya dia menyambungkan saraf kelenjar itu. Brinkley mendakwa kelenjar kambing itu ‘hidup’ dalam tubuh manusia, tetapi semuanya tidak benar. Pesakit hanya merasakan ada sesuatu pada skrotum mereka.

Bukan itu saja, Brinkley juga  mendakwa merawat ramai pesakit yang menghadapi masalah nyanyuk, pernafasan dan gangguan pencernaan dengan teknik pembedahannya itu.

Bayaran khidmatnya mencecah AS$750 untuk satu pembedahan. Dia mampu mendapat sehingga 40 kes dalam seminggu. Kambing-kambing yang dijadikan sumber utama untuk pembedahan akan dihantar secara berkala dan dipelihara di kandang di belakang kliniknya. Malah, pelanggan diberi kebebasan untuk memilih kambing mana yang dimahukan sebelum menjalani proses pembedahan.

Walaupun lesen perubatan sudah ditarik, Brinkley terus menjalankan pembedahan dengan bayaran tinggi kerana terdapat banyak permintaan. Dia menjana kekayaan daripada pembedahan anehnya itu. Dia mampu memiliki rumah agam, kereta mewah dan membeli haiwan eksotik.

Bandar Milford turut menikmati perubahan kesan daripada rawatan Brinkley yang membawa ramai orang luar datang ke situ. Bandar itu mendapat kaki lima baru, sistem kumbahan, pejabat pos, lampu elektrik, bank dan jalan berturap.

Zaman Kejatuhan

Brinkley juga mengubah lanskap penyiaran radio pada zamannya. Pada 1923, beliau membina stesen radio sendiri di Milford sebagai platform untuk mempromosikan perkhidmatan perubatannya.

Setiap hari, Brinkley bercakap berjam-jam di udara, menawarkan nasihat perubatan, mempromosikan rawatan ajaibnya dengan kelenjar kambing, sambil menyiarkan pelbagai hiburan lain.

Stesen itu menjadi begitu popular sehingga lesen radio Brinkley ditarik oleh pihak berkuasa Amerika. Tidak berputus asa, beliau berpindah ke Del Rio, Texas, di sempadan Mexico, dan memperoleh lesen radio dengan kuasa daripada kerajaan Mexico.

Dengan kuasa sehingga satu juta watt, suaranya boleh didengar jauh hingga ke Kanada. Gelombang radio Brinkley dikatakan cukup kuat untuk menyalakan lampu kereta, malah mampu menjejaskan perbualan telefon.

Selain kontroversi perubatan dan radio, Brinkley juga pernah mencuba nasib dalam dunia politik. Beliau bertanding untuk jawatan Gabenor Kansas, cuba membawa pengaruh dan popularitinya dari klinik dan radio ke pentas politik.

Dalam pilihan raya itu, beliau mendapat sejumlah besar undi, hampir sepertiga daripada keseluruhan, tetapi gagal menang. Tidak berputus asa, beliau bertanding semula pada 1932 sebagai calon bebas, dan sekali lagi pada 1934, namun tetap kalah.

Percubaan politiknya menunjukkan bahawa Brinkley bukan sekadar seorang penipu dalam dunia perubatan, tetapi juga seorang figura yang mempunyai pengaruh besar di kalangan orang ramai, cukup untuk menggegarkan arena politik di Kansas pada waktu itu.

Namun kejayaan yang dinikmati Brinkley tidak tahan lama. Banyak pesakit yang menjalani pembedahan selepas itu mengalami pelbagai komplikasi dan jankitan. Ada yang meninggal dunia.

Kejatuhannya bermula apabila pihak berkuasa mula menyedari bahawa rawatannya tidak berkesan dan berpotensi membahayakan pesakit. Pada 1930, Lembaga Perubatan Negeri Kansas menarik balik lesen perubatannya atas alasan tingkah laku yang tidak bermoral dan tidak profesional. Keputusan ini bukan sahaja memalukan, tetapi juga menutup pintu kepada aktiviti pembedahannya secara sah.

Brinkley cuba merayu, tetapi Mahkamah Agung Kansas menolak rayuannya, menuduhnya sebagai penipu dan melanggar etika perubatan.

Seterusnya, Persatuan Perubatan Amerika (AMA) mula membongkar penipuannya secara terbuka. Mereka menulis artikel, memberi amaran kepada orang awam, dan akhirnya membawa Brinkley turun naik mahkamah. Orang ramai mula menyedari bahawa janji-janji keajaiban kelenjar kambing hanyalah satu penipuan.

Dengan serangan undang-undang, kehilangan lesen dan pendedahan media, ia telah membenamkan Brinkley.

Pada 1939, Brinkley menyaman Persatuan Perubatan Amerika kerana memfitnahnya, namun juri memutuskan beliau seorang penipu. Tindakan undang-undang berterusan terhadapnya membuatkan Brinkley jadi muflis.

Kesihatan Brinkley turut merosot. Beliau mengalami tiga serangan jantung dan pembekuan darah di kaki yang menyebabkan amputasi. Selepas bertahun-tahun bergelut dengan kesan kejatuhan karier dan masalah kesihatan, Brinkley akhirnya meninggal dunia pada 26 Mei 1942 akibat kegagalan jantung di San Antonio, Texas. Beliau kemudian disemadikan di Forest Hill Cemetery, Memphis, Tennessee.

John Brinkley meninggalkan legasi yang bercampur-baur, Daripada seorang penipu perubatan dengan keajaiban kelenjar kambing, juga seorang inovator dalam penyiaran radio kepada percubaan dalam dunia politik. Kejatuhan dan kematiannya menjadi peringatan bahawa populariti dan karisma tidak mampu menangkis kebenaran dan undang-undang.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This