Biasanya kita menyeberangi sungai dengan perahu atau rakit. Tapi, pernah tak anda dengar orang melintasi sungai menggunakan kulit lembu? Pelik bunyinya, bukan?
Pada awal 1900-an, seorang guru sekolah yang juga merupakan seorang pengembara dan jurugambar dari Amerika, James Ricalton, telah menjelajah ke India untuk merakam kehidupan, budaya dan adat resam penduduk tempatan melalui lensa kameranya.
Ketika menziarahi beberapa buah kampung terpencil di kawasan kaki bukit Himalaya, dia melihat satu pemandangan yang agak aneh.
Ricalton menggambarkan apa yang dilihatnya itu seperti ini ;
“Kira-kira 20 batu dari Naldera, di kawasan perbukitan Punjab. Sungai di sini deras dan dalam. Anda boleh lihat betapa tinggi dan curamnya tebing yang membatasinya. Anda boleh bayangkan bagaimana hujan lebat yang turun dari cerun ini akan mengubah aliran ini menjadi deras dan ganas. Lelaki-lelaki ini adalah penduduk tempatan dengan pakaian tradisional mereka, dan objek menyeramkan yang mereka uruskan itu sebenarnya ialah kulit lembu yang dijahit rapat dan ditiup dengan angin sehingga menjadi seperti pelampung.
Dua daripada mereka masih menghembus ‘perahu’ itu dengan udara, manakala tali sudah siap untuk menutup hujung kulit setelah cukup kembang. Seorang lagi sudah menyiapkannya di rumah dan membawanya ke tebing. Ia besar tetapi ringan dan mudah diurus.
Apabila bersedia, setiap lelaki akan melompat ke atas kulit yang kembang itu, menggunakan kaki di satu sisi dan dayung pendek di sisi lain untuk menggerakkan perahu pelik ini. Jika keseimbangan tidak tepat, perahu akan terbalik dan dia akan terendam, tetapi latihan menjadikan mereka mahir. Malah, muatan kecil atau penumpang juga dapat diseberangkan dengan selamat. Jika ada beberapa penumpang, dua perahu biasanya dilancarkan sebelah-menyebelah, dengan penumpang saling memegang antara satu sama lain untuk membantu mengekalkan keseimbangan perahu pelik ini.” —India Through the Stereoscope: A Journey Through Hindustan.
Penduduk di kawasan ini menyeberangi sungai dengan cara yang unik. Mereka menggunakan kulit lembu atau kambing yang ditiup dan menggelembung menjadi seperti pelampung.

Untuk tujuan tersebut, kulit haiwan itu harus dipotong dengan cara tertentu supaya ia utuh. William Moorcroft, seorang pengembara yang banyak menjelajah Himalaya, Tibet dan Asia Tengah pernah mencatatkan cara pembuatan pelambung ini di Punjab sekitar tahun 1820, sebagaimana yang dicatat oleh James Hornell dalam The Journal of the Royal Anthropological Institute of Great Britain and Ireland (1942).
Cara Membuat Pelampung Kulit Lembu
Sebelum kulit lembu atau kambing boleh dijadikan pelampung, ia perlu disediakan dengan teliti. Pertama, kulit dipotong di sekitar lutut dan dibuat hirisan panjang di belakang kaki sehingga lutut, supaya kulit haiwan itu dapat ditanggalkan perlahan-lahan dari badan.
Selepas itu, kulit yang dicabut akan dilipat dan ditanam dalam tanah selama beberapa hari. Cara ini membolehkan rambut pada kulit menjadi lebih mudah tanggal apabila digosok dengan tangan atau pisau kayu.
Setelah dibersihkan, kulit itu akan dibalikkan, maksudnya bahagian dalam kulit dijadikan luar. Lubang-lubang semula jadi seperti bahagian mulut dan mata akan dijahit rapat supaya kulit tidak bocor dan boleh digunakan sebagai pelampung.
Kemudian, kulit itu diterbalikkan semula kepada keadaan asal. Bahagian hujung kaki akan diikat, manakala hujung satu kaki lagi dibiarkan terbuka untuk menjadi tempat saluran udara dimasukkan.
Bagi menguatkan kulit dan menjadikannya tahan lama, tar nipis daripada pokok deodar atau pinus dituangkan ke dalam kulit itu dan digoncang supaya menyaluti seluruh permukaan dalam.
Bahagian luar kulit pula direndam dalam air rebusan kulit delima untuk menguatkan kulit agar tahan lama dan tidak mudah reput atau rosak.

Apabila ‘pelampung’ ini hendak digunakan, satu tiub kecil akan dimasukkan ke bahagian hujung kaki yang terbuka, dan udara ditiup masuk sehingga kulit itu mengembang seperti pelampung raksasa.
Hasilnya, kulit lembu atau kambing itu kelihatan seperti beruang besar tanpa bulu. Ia akan terapung di atas air. Jika dinaiki manusia, tidak akan tenggelam.
Walaupun nampak pelik, perahu kulit ini sangat ringan dan mudah diurus. Seorang lelaki boleh menunggangnya sambil menyeberangi sungai yang deras. Manakala muatan atau penumpang lain turut boleh diseberangkan dengan selamat. Dengan kreativiti seperti ini, penduduk di kawasan itu mampu menakluk arus deras sungai dengan cara yang unik dan cekap.
Sebelum pembinaan jambatan dan adanya bot yang lebih baik, pelampung ini amat penting untuk menyeberangi sungai gunung yang deras di India. Walaupun primitif dan kasar, ia sangat efektif.

Moorcroft, seorang pengembara dan pedagang Inggeris pada awal abad ke-19 menceritakan satu kejadian. Ketika itu, seluruh rombongannya seramai kira-kira 300 orang dengan 16 ekor kuda dan baghal bersama barangan seberat lebih tujuh ribu kilogram telah menyeberang Sungai Sutlej yang dikendalikan oleh 31 orang pengendali pelampung kulit lembu. Mereka semua dibawa menyeberangi sungai dengan pelampung unik ini dalam masa satu setengah jam sahaja.
Sebenarnya, pelampung unik ini bukan hanya boleh ditemui di kawasan ini sahaja. Dikatakan ia telah wujud jauh lebih lama dahulu. Dalam ukiran kuno zaman Mesopotamia yang ditemui di Nimrud yang pernah menghiasi istana Raja Ashurnasirpal II (memerintah Assyria dari 883–859 SM), ukiran itu menunjukkan tentera Assyria berenang sambil disokong oleh kulit haiwan yang ditiup angin, mungkin ia kulit kambing.
Sejarawan menyatakan, Cyrus the Great juga menggunakan kulit haiwan yang diisi angin untuk menyeberangi sungai di Babylon. Manakala Darius I seorang raja Empayar Parsi yang memerintah dari 522 hingga 486 SM juga menggunakan kaedah sama untuk menyeberangi Sungai Tigris.
Tentera Mongol, Genghis Khan juga membawa kulit haiwan tiup dalam penaklukan mereka ke kawasan barat, Manakala cucunya, Kublai Khan, turut menggunakan kulit haiwan ini sebagai pelampung bersama rakit kayu bila diperlukan. Malah, Rom dan Arab zaman dulu turut menggunakan teknik ini.

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

