Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers.
Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap tragedi yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu masih menghantui mereka yang pernah menyaksikan sendiri saat-saat cemas sebelum Blok 1 runtuh pada jam 1.35 petang.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul mendakwa, beberapa minit sebelum kejadian, penghuni di situ berasakan sesuatu yang sukar dijelaskan.
“Saya tahu cerita ini daripada seorang pakcik yang tinggal berdekatan ketika kejadian itu berlaku.
“Tak tahu macam mana nak terangkan. Masa itu pakcik tersebut sedang berdiri di luar. Tiba-tiba rasa tanah bergegar perlahan.
“Lepas itu macam ada sesuatu menolak bangunan dari dalam. Tak lama kemudian, pakcik itu dengar bunyi dentuman kuat sebelum bangunan itu jatuh,” dakwanya.
Bencana tragis dalam sejarah
Dalam sekelip mata, bangunan setinggi 12 tingkat itu rebah menyembah bumi, meragut 48 nyawa dan mencederakan ramai mangsa lain.
Tragedi tersebut kekal sebagai antara bencana bangunan paling tragis dalam sejarah Malaysia.
Namun bagi penduduk sekitar, kisah Highland Towers tidak berakhir pada hari runtuhan itu berlaku.
Selepas operasi menyelamat tamat dan kawasan tersebut ditinggalkan, dua blok yang masih berdiri mula menjadi subjek pelbagai cerita misteri.
Bangunan yang suatu ketika dahulu dipenuhi penghuni bertukar menjadi struktur sunyi yang menimbulkan rasa seram kepada sesiapa sahaja yang menghampirinya.
Bunyi tangisan
Seorang bekas pengawal keselamatan kawasan tersebut mendakwa pernah mendengar bunyi tapak kaki di tingkat atas bangunan tersebut ketika membuat rondaan malam.
“Dia yakin memang tak ada orang dalam bangunan itu. Kawasan dah ditutup. Tapi hampir setiap minggu dia dengar bunyi macam orang berjalan, berlari dan menangis,” katanya.
Seorang lagi penduduk setempat pula mendakwa pernah terdengar suara seperti seseorang meminta pertolongan.
“Masa itu sekitar pukul dua pagi. Dia kata, dia dengar suara macam orang menjerit perlahan. Bunyi dia sayup-sayup. Macam orang panggil minta tolong dari jauh. Bila pergi dekat ke kawasan itu, memang tak jumpa apa-apa,” ceritanya.
Pontianak rambut panjang
Malah terdapat juga penduduk yang mendakwa terlihat cahaya lampu muncul secara tiba-tiba dari dalam bangunan yang sudah lama tidak mempunyai bekalan elektrik.
” Nak tahu, saya juga dengar cerita dia (penduduk) nampak satu tingkap bercahaya pada malam tertentu. Esok pagi bila dia tengok semula, memang gelap. Sedangkan bangunan itu dah lama kosong,” dakwanya.
Antara cerita yang paling kerap diperkatakan ialah kemunculan kelibat wanita berambut panjang di salah satu tingkat bangunan. Ada yang mendakwa itu adalah pontianak yang terlihat berdiri di balkoni sebelum hilang sekelip mata.
Benar atau tidak, semua cerita tersebut tidak pernah dapat dibuktikan secara saintifik. Namun kisah-kisah itu terus hidup dalam kalangan masyarakat sehingga ke hari ini.
Siapa yang membuat pesanan makanan?
Lebih menghairankan, beberapa tahun lalu media sosial pernah digemparkan dengan satu dakwaan melibatkan seorang penghantar makanan.
Menurut cerita yang tular, rider tersebut menerima pesanan makanan yang kononnya dihantar ke alamat Highland Towers.
Pada mulanya dia menyangka alamat itu merujuk kepada kawasan perumahan berhampiran. Namun apabila aplikasi navigasi membawanya ke kawasan runtuhan Highland Towers yang sudah lama ditutup, dia mula berasa pelik.
Lebih misteri, nombor telefon pelanggan dikatakan tidak dapat dihubungi. Apabila dia tiba di lokasi, kawasan tersebut gelap dan sunyi tanpa kelibat sesiapa.
Persoalan tersebut menjadi perbualan hangat netizen. Ada yang mendakwa ia sekadar gangguan sistem aplikasi, manakala ada yang mengaitkannya dengan unsur mistik.
Namun sehingga kini, tiada bukti rasmi yang mengesahkan kesahihan cerita tersebut dan identiti pelanggan tidak pernah diketahui.
Teguran daripada Allah
Dalam kalangan masyarakat pula, ada yang berpendapat tragedi Highland Towers merupakan satu teguran daripada Allah SWT kepada manusia yang semakin lalai dan hanyut dengan urusan dunia.
Namun hakikat sebenar di sebalik setiap musibah hanya diketahui oleh Allah SWT.
Apa yang pasti, setiap bencana mengandungi hikmah dan pengajaran. Ia mengingatkan manusia tentang betapa rapuhnya kehidupan serta pentingnya sentiasa bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Kini, lebih tiga dekad berlalu, Highland Towers kekal sebagai antara lokasi tragedi paling dikenang dan seram dalam sejarah Malaysia.
Bukan sahaja kerana kehilangan nyawa yang berlaku, tetapi juga kerana pelbagai kisah misteri yang terus menghantui ingatan penduduk setempat.
Sama ada kisah-kisah tersebut benar, salah faham, atau sekadar cerita yang dibesar-besarkan dari mulut ke mulut, Highland Towers tetap menyimpan seribu satu persoalan yang belum terjawab.
Dan apabila malam menjelma, bangunan yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemewahan itu masih berdiri dalam ingatan ramai sebagai lokasi yang sarat dengan tragedi, misteri dan pengajaran buat seluruh rakyat Malaysia.

