SEIRING perubahan landskap media, TV AlHijrah tampil dengan nafas baharu menerusi Slot Perdana 9 Malam 2026, menawarkan pengisian dakwah yang lebih segar, interaktif dan membumi untuk tontonan penonton masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata program itu kekal menjadi teras utama penyampaian dakwah, justeru penambahbaikan dilakukan bagi memastikan kandungannya terus relevan dan memberi impak.

“Bagi kami, dakwah tidak boleh bersifat statik. Ia perlu bergerak seiring perubahan masyarakat. Slot 9 malam 2026 dibina dengan pendekatan yang lebih hidup, interaktif dan membumi,” katanya.
Tambahnya, elemen interaksi dua hala diberi penekanan agar penonton tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya turut terlibat secara aktif dalam perbincangan dan pembelajaran.
“Kami mahu penonton rasa didengari dan difahami. Dakwah TV AlHijrah disampaikan dengan hikmah, empati dan kefahaman yang dekat dengan kehidupan sebenar,” jelasnya.
Antara program yang kembali dengan nafas baharu ialah Mai Mengaji, yang mula bersiaran pada 19 Januari, setiap Isnin. Musim terbaharu ini menampilkan Ustaz Husaini bersama Ustazah Rozana dan Ustazah Aisyah Bain, dengan konsep pembelajaran Al-Quran secara santai tetapi lebih tersusun dan bermakna.

Program ini diperkukuhkan dengan segmen baharu seperti Betulkan Bacaan Saya, tugasan mingguan serta penglibatan pelajar termasuk golongan mualaf, sekali gus menjadikannya lebih inklusif dan praktikal.
Slot Selasa pula diisi dengan Dakwah Live yang mula bersiaran pada 6 Januari. Dikendalikan oleh Ustaz Izzhar Nazri, program bual bicara secara langsung ini membincangkan isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan semasa secara terbuka, disertai interaksi dua hala bersama penonton menerusi panggilan telefon dan media sosial.

Bagi slot Rabu, Analisis kembali menemui penonton mulai 7 Januari, dikendalikan oleh Amin Idris dan Talib Husin. Program ini memberi tumpuan kepada perbincangan isu semasa dan keagamaan secara lebih mendalam dan kritikal dengan penglibatan panel pakar serta tokoh berwibawa.

Melengkapkan slot 9 malam ialah program baharu Dari Hati Wanita yang mula bersiaran pada 15 Januari ini, setiap Khamis. Dikendalikan oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar, program ini menjadi ruang selamat buat wanita membincangkan isu rumah tangga, kerjaya, emosi dan spiritual berlandaskan panduan Islam yang praktikal.

Mengulas lanjut, Namanzee berkata gabungan ilmu, dialog dan realiti masyarakat dalam slot 9 malam ini mencerminkan komitmen TV AlHijrah untuk terus menjadi platform dakwah yang progresif dan relevan.
“Slot 9 malam TV AlHijrah 2026 adalah usaha kami untuk terus mendekati masyarakat dengan dakwah yang mendidik, membimbing dan menyentuh hati,” katanya.
Dengan barisan program yang lebih tersusun dan berfokus kepada isu semasa, Slot 9 Malam TV AlHijrah 2026 dilihat sebagai langkah strategik TV AlHijrah dalam memperkukuh peranannya sebagai rujukan dakwah dan wacana Islam di Malaysia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

