INDUSTRI muzik tempatan terus rancak dengan kemunculan sebuah kumpulan girl group baharu yang diberi nama Inferno3.
Dianggotai oleh tiga remaja berbakat iaitu Hannis,15, Hannah,17, dan Eva (17), kumpulan ini bukan sahaja menyerlah dari segi tarian, malah turut membuktikan kemampuan vokal yang meyakinkan.
C

Menurut Hannis, peluang yang diberikan merupakan satu pengalaman yang sangat berharga buat mereka bertiga.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan rasa bertuah kerana dapat melancarkan single pertama bersama Kak Shiha. Bukan semua orang dapat peluang untuk bekerjasama dengan artis yang multi-talented seperti beliau,” katanya.
Hannah turut berkongsi pandangan sama dan menyifatkan Inferno3 sebagai kumpulan yang beruntung kerana mendapat bimbingan terus daripada artis senior.
“Kak Shiha banyak berkongsi ilmu dan tunjuk ajar. Pengalaman beliau dalam industri sangat membantu kami,” ujarnya.
Sementara itu, Eva mengakui perasaan teruja dan gementar dapat bekerjasama dengan Shiha bukan sahaja dalam nyanyian, malah turut menari bersama dalam video muzik.
“Rasa sangat dihargai apabila artis senior sudi berkolaborasi dengan kami. Harap peluang ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk kami teroka dunia seni,” ujarnya.
Lagu Money merupakan hasil kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia dan mengangkat tema realiti kehidupan masa kini, di mana wang menjadi keperluan asas untuk meneruskan hidup tanpa mengira usia. Ketiga-tiga anggota Inferno3 berkongsi interpretasi sama terhadap mesej lagu tersebut.
Sebelum rakaman dijalankan, Shiha mengadakan beberapa sesi latihan bagi memastikan Inferno3 benar-benar bersedia.
“Nyanyian adalah perkara baharu untuk kami kerana sebelum ini kami lebih fokus kepada tarian. Kak Shiha tak garang, cuma tegas dan sangat mementingkan kesempurnaan,” jelas Eva.
Pengalaman merakam video muzik juga menjadi kenangan manis buat mereka apabila penggambaran dilakukan di sebuah bangunan terbiar.
“Memang mencabar dan ada rasa takut, tapi sangat menyeronokkan,” kata Hannis.

Hannah pula mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada koreografer Ezra Tham yang banyak membantu dari segi pergerakan tarian.
“Kami berlatih selama tiga hingga empat hari sebelum penggambaran. Cara Abang Ezra mengajar sangat mudah difahami,” katanya.
Mengulas mengenai Inferno3, Shiha melihat kumpulan ini sebagai pendatang baharu yang mempunyai potensi besar.
“Bukan mudah untuk cari kumpulan yang boleh menari dan menyanyi dengan baik. Mereka masih muda dan berbakat.
Fokus kami bukan untuk bersaing, tetapi membentuk pengaruh positif dalam kalangan remaja,” katanya.
Shiha turut menegaskan bahawa aspek akademik tetap menjadi keutamaan buat Inferno3, selari dengan syarat yang ditetapkan oleh ibu bapa masing-masing.
“Mereka pandai bahagi masa antara pelajaran dan seni. Ini contoh yang baik untuk remaja lain,” jelasnya.
Menurut Shiha lagi, lagu Money pada asalnya dicipta khas untuk dirinya, namun dirasakan sesuai untuk diberikan kepada Inferno3.
Lagu ini digubah oleh Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat, dengan penambahan elemen dance break bagi menonjolkan kekuatan tarian kumpulan tersebut.
“Ini lagu yang cukup ‘perisa’ untuk sebuah girl group. Liriknya dekat dengan realiti dan boleh beri semangat kepada pendengar,” katanya sambil berharap muzik M-Pop terus mendapat sokongan setanding K-Pop.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

