Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir, Batik Air tampil dengan inisiatif mesra pengguna menerusi pelancaran kempen ‘Fixed Fares for Your Reunion’, bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih lancar, terancang dan bebas tekanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, kempen ini diwujudkan bagi mengurangkan beban dan kebimbangan penumpang ketika merancang perjalanan musim perayaan.
“Kami faham bahawa perjalanan semasa musim perayaan boleh menjadi satu tekanan. Melalui kempen ‘Fixed Fares for Your Reunion’, kami mahu memberikan ketenangan kepada keluarga dengan tambang yang mudah, berpatutan dan fleksibel supaya mereka boleh fokus untuk bersama orang tersayang,” katanya.
Beliau menambah, penambahan penerbangan dan laluan baharu juga mencerminkan komitmen Batik Air untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar. “Perjalanan bukan sekadar menaiki pesawat, ia adalah permulaan kepada sambutan perayaan. Kami berharap usaha ini membolehkan keluarga menikmati setiap detik kebersamaan dengan lebih bermakna.”
Inisiatif Batik Air ini turut mendapat sokongan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menyifatkan tambang penerbangan yang berpatutan dan stabil sebagai elemen penting dalam menyokong mobiliti rakyat semasa musim puncak seperti Tahun Baharu Cina.
“Usaha seperti tambang tetap dan penambahan kapasiti penerbangan bukan sahaja meringankan beban penumpang, malah mencerminkan tanggungjawab bersama industri penerbangan dalam memastikan perjalanan udara yang selamat, boleh dipercayai dan mudah diakses, termasuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kempen tambang tetap ini menawarkan harga penerbangan yang telah ditetapkan lebih awal, sekali gus memberi ketenangan kepada penumpang untuk merancang perjalanan sempena musim perayaan yang sinonim dengan kesesakan dan lonjakan harga tiket. Dengan tambang yang konsisten dan boleh dijangka, penumpang kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada detik kebersamaan bersama keluarga.
Menerusi kempen ini, Batik Air menawarkan tambang sehala bermula RM318 dari Kuala Lumpur atau Subang ke Kuching, manakala penerbangan ke Kota Kinabalu ditawarkan pada harga bermula RM378 sehala. Tempoh tempahan dibuka mulai sekarang hingga 13 Februari 2026, dengan tarikh perjalanan dari 13 hingga 16 Februari 2026.
Bagi memenuhi permintaan tinggi semasa musim perayaan, Batik Air turut menambah penerbangan tambahan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang (12 hingga 14 Februari 2026) dan Sibu (13 hingga 15 Februari 2026). Tambang sehala bagi laluan ini bermula RM388 ke Pulau Pinang dan RM588 ke Sibu, memberikan lebih fleksibiliti kepada para penumpang.
Selain inisiatif sempena musim perayaan, Batik Air turut memperkenalkan program baharu ‘Batik Student Fare’ yang menawarkan diskaun perjalanan sepanjang tahun kepada pelajar, pensyarah dan komuniti kampus. Program ini bertujuan menyokong mobiliti pelajar serta membuka lebih banyak peluang pembelajaran dan penerokaan, selaras dengan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkasa generasi muda.

