DUO pereka fesyen popular, Rizman Ruzaini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kes tuntutan wang berjumlah RM1.3 juta oleh suami kepada pelakon Datin Intan Najuwa iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman.
Menurut Rizman, pihaknya menghormati prosiding mahkamah yang masih berjalan dan berjanji akan memberikan penjelasan lanjut apabila tiba masa sesuai.
“Bagi kami, sebenarnya ‘there is always two side of the story’. Tapi buat masa ini, kami tak nak komen sebab ia masih dalam prosiding mahkamah.
“Jadinya kami perlu menghormati proses prosiding tersebut.
“Insya-Allah, bila sampai masa nanti, saya sendiri akan cerita,” katanya kepada URTV.
Rizman berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Raya 2026, di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, Rizman menyifatkan kontrovesi berkenaan sebagai ujian jatuh dan bangun mereka di saat empayar perniagaan yang dibina kini sudah masuk usia dua dekad.
“Sepanjang 20 tahun Rizman Ruzaini bergelar pereka fesyen dan usahawan, saya rasa setiap pendekatan yang kita buat ni haruslah menunjukkan kematangan.
“Macam kami sendiri, sudah tentu setiap benda yang kami hadapi, saya rasa kita perlu ambil penyelesaian terbaik yang kita boleh.
“Kami memilih untuk menyelesaikan dengan cara yang paling profesional. Sokongan pembeli juga sangat kuat, Alhamdulillah.
“Perkara ini nampaknya tidak menjadi isu besar kepada peminat rekaan Rizman Ruzaini. Sokongan mereka masih utuh sehingga kini,” jelasnya.
Rizman tidak cepat melatah apabila isu tersebut tular sekaligus mengundang sindiran dan kritikan orang ramai terhadap reputasi mereka.
Malah, mereka tetap positif dan melihat perkara itu sebagai alah bisa tegal biasa.
“Bagi saya, itu pandangan masing-masing. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah.
“Yang penting bagaimana kita harungi setiap cabaran. Itu hak mereka untuk berkata-kata,” tegasnya.
Terdahulu, Intan Najuwa mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan suaminya, Ahmad Azraf, menangi kes saman terhadap jenama fesyen Rizman Ruzaini melibatkan tuntutan bayaran semula pinjaman RM1.3 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman Mahkamah Tinggi selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri demi menghormati proses undang-undang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

