SOKONGAN luar biasa peminat tempatan meletakkan Malaysia sebagai antara pemacu utama kejayaan global lagu Die On This Hill nyanyian Sienna Spiro apabila single tersebut berjaya menduduki tangga No.1 Spotify Top 50 Malaysia dan mencetuskan fenomena di YouTube Malaysia.
Kejayaan luar biasa ini didorong oleh gelombang sokongan padu daripada pendengar tempatan, termasuk trend cover lagu oleh barisan artis dan pencipta kandungan Malaysia yang tular di media sosial.
Sehingga kini, Die On This Hill telah merekodkan lebih 173 juta strim global, selain mencipta pelbagai pencapaian baharu di carta antarabangsa, termasuk kedudukan #12 Spotify Amerika Syarikat, meraih tempat #1 serta kulit hadapan playlist Today’s Top Hits, dan tersenarai dalam carta di 28 pasaran global, dengan Top 50 di 20 negara.

Lagu ini turut mencatat prestasi membanggakan apabila berada di kedudukan #9 Carta Single UK, #15 Carta Lagu Apple Music Global dan Amerika Syarikat, serta menembusi Carta Billboard Hot 100 di tangga #54 dan terus menunjukkan peningkatan.
Fenomena Die On This Hill mula mencuri perhatian di Malaysia selepas beberapa artis tempatan terkenal seperti Ernie Zakri, Diana Danielle dan Syamel memuat naik versi cover masing-masing di platform TikTok dan YouTube.
Secara keseluruhan, kandungan berkaitan lagu ini di Malaysia telah mengumpul lebih 220 juta tontonan di TikTok, sekali gus menjadikannya antara topik muzik paling hangat di negara ini.
Malah, Sienna sendiri meninggalkan komen pada video cover Ernie dan Syamel di TikTok dengan pujian ringkas, “Love this” beserta emoji hati.

Memiliki vokal memukau serta penceritaan emosi yang mendalam, Sienna yang baru berusia 20 tahun dilihat mempunyai karisma luar biasa sebagai penyanyi-penulis lagu.
Keaslian persembahannya bukan sahaja memikat audiens global menerusi karya sinematik dan soulful, malah turut mencetuskan gelombang sokongan berterusan di Malaysia apabila semakin ramai artis tempatan menyertai fenomena ini, termasuk Nuha Bahrin, Elica Paujin dan Julia Duclos.
Mengorak langkah cemerlang pada awal tahun 2026, Sienna mencipta detik penting dalam kerjayanya apabila membuat persembahan Die On This Hill di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, menerima sorakan berdiri daripada penonton serta reaksi kagum hos rancangan tersebut.
Dia turut mempersembahkan lagu sama di Later… with Jools Holland dan The Today Show, selain membuka persembahan untuk residensi bersejarah Sam Smith, “To Be Free: New York City”, selama enam malam pada penghujung 2025.
Menjelang akhir 2025, Sienna semakin jelas menampilkan potensi sebagai bintang besar apabila menghiasi kulit Notion Magazine, menerima pujian daripada media berpengaruh seperti Rolling Stone, Wonderland dan Dazed, membuat persembahan lagu Dream Police di COLORSxSTUDIOS, serta membintangi kempen Gap Give Your Gift dengan interpretasi penuh emosi lagu The Climb nyanyian Miley Cyrus bersama koir pelbagai generasi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

