Kisah keju yang mencetuskan rusuhan dan pertumpahan darah

Dari Penulis

Tahun 1766 merupakan antara tahun paling getir buat golongan petani di Eropah. Banyak tanaman tidak menjadi. Ia menyebabkan harga gandum, tepung, jagung dan bahan makanan asas melonjak.

Di England, keadaan menjadi tegang apabila pengeluar dan pedagang memilih untuk mengeksport bekalan makanan ke pasaran luar negara yang lebih menguntungkan, sekali gus mengurangkan bekalan tempatan. Rakyat yang terkesan dengan keadaan itu mula bangkit bersuara yang kemudian mencetuskan rusuhan di kebanyakan bandar.

Dalam suasana penuh ketegangan inilah berlangsungnya Nottingham Goose Fair, sebuah pesta perdagangan dan ternakan yang telah berusia ratusan tahun. Ia bermula pada 2 Oktober 1766 di Old Market Square.

Acara tahunan ini menarik ribuan pedagang, petani dan pengunjung dari seluruh negara. Antara tarikan utama ialah para penternak angsa yang membawa sehingga 20,000 ekor angsa dari Lincolnshire, Cambridgeshire dan Norfolk untuk dijual bagi hidangan tradisi, iaitu angsa panggang. Selain itu, pesta ini juga terkenal dengan jualan keju berkualiti tinggi.

Namun pada tahun tersebut, jumlah keju yang dibawa masuk ke Nottingham adalah luar biasa banyak. Lebih mengejutkan, harganya hampir dua kali ganda daripada biasa. Bagi penduduk tempatan, harga yang tinggi melampau ini dianggap satu bentuk ketamakan yang menafikan hak mereka terhadap makanan asas.

Pada siang hari, keadaan masih terkawal. Namun menjelang malam, suasana mula berubah. Sekumpulan anak muda yang digambarkan dalam rekod sejarah sebagai ‘some rude lads’ telah bertindak menahan beberapa pedagang dari Lincolnshire yang telah membeli ratusan paun keju.

Mereka diugut agar tidak membawa keluar keju tersebut selagi penduduk tempatan belum dilayan dengan adil. Pertengkaran tercetus dan akhirnya bertukar menjadi keganasan.

Orang ramai mula merampas ratusan keju, menggolekkannya keluar dari pasar dan melarikan hasil rampasan ke pelbagai arah. Sekatan jalan dibuat bagi menghalang pedagang membawa keluar keju tersebut.

Sebuah bot berhampiran Trent Bridge turut dirampas, dan muatan kejunya dijarah walaupun pemiliknya sanggup membayar orang ramai atau menjual keju itu dengan harga yang murah.

Sebuah gudang simpanan keju juga telah diserang, namun pemiliknya berjaya menghalau penyerang menggunakan senjata api. Pun begitu, sebahagian keju tetap hilang.

Pemilik gudang kemudian menubuhkan pasukan berkuda untuk menjejaki keju yang dilarikan sehingga ke Castle Donington. Majistret tempatan pula enggan mengeluarkan waran geledah untuk mencari keju yang hilang, menyebabkan beberapa penduduk ditahan atas tuduhan terlibat dalam rusuhan.

Tindakan penahanan itu hanya menambahkan kemarahan orang ramai. Tingkap rumah dipecahkan, jalan rosak dan ugutan dilemparkan terhadap sesiapa sahaja yang cuba menghalang mereka. Keadaan hanya reda selepas individu yang ditahan dibebaskan.

Keesokan paginya, pihak berkuasa Nottingham memanggil pasukan berkuda dan infantri untuk mengawal keadaan. Pertembungan serius berlaku antara tentera dan perusuh. Tembakan dilepaskan ke arah orang ramai. Seorang lelaki terkorban menjadikan rusuhan keju ini bukan lagi sekadar kekacauan makanan, tetapi bertukar menjadi tragedi berdarah.

Walaupun rusuhan di Nottingham akhirnya reda, api kemarahan telah merebak. Cubaan merosakkan gudang berlaku berhampiran Derby, manakala di kawasan Sungai Trent, sekumpulan perusuh hampir membakar sebuah kincir angin.

Rusuhan makanan turut dilaporkan di bandar lain seperti Devon, Cornwall, Gloucester, Bristol, Birmingham dan Norwich. Tidak diketahui dengan tepat bagaimana semua kekacauan ini berakhir, namun dipercayai mengambil masa selama beberapa hari untuk keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan.

Hari ini, Rusuhan Keju Nottingham 1766 kekal sebagai salah satu catatan buruk dalam sejarah Britain. Ia menjadi bukti bagaimana krisis makanan dan ketidaksamaan ekonomi mampu mencetuskan keganasan.

Apa yang menarik, pesta Nottingham Goose Fair masih diteruskan hingga kini walaupun ia tidak lagi berfungsi sebagai pasar ternakan. Lokasinya juga telah berpindah dari Old Market Square ke Forest Recreation Ground, dan kini lebih dikenali sebagai pesta hiburan dengan permainan dan tarikan karnival.

Hanya kerana keju, kisah ini memberi peringatan bahawa dalam sejarah, makanan bukan sekadar keperluan hidup, tetapi juga boleh jadi pencetus keganasan.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This