Masjid Al-Eido di Salma, Latakia yang sebelum ini rosak teruk akibat konflik berpanjangan di Syria, akhirnya dirasmikan semula semalam sekali gus menyaksikan azan pertama berkumandang selepas lebih sedekad.

Menurut pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, majlis perasmian masjid berkenaan telah disempurnakan oleh Gabenor Latakia, Muhammad Ahmad Osman, menandakan pemulihan sebuah institusi penting yang menjadi nadi kehidupan komuniti setempat sebelum konflik tercetus.

“Konflik yang melanda Syria selama lebih satu dekad telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap pelbagai institusi komuniti termasuk masjid, sekolah dan pusat pembelajaran, sekali gus menjejaskan struktur sosial, identiti budaya serta kesejahteraan psikososial masyarakat.
“Masjid Al-Eido merupakan antara institusi yang terjejas teruk, sekali gus menafikan peranannya sebagai pusat ibadah, pendidikan serta aktiviti sosial komuniti di Salma.

“Usaha pemulihan masjid ini dilihat bukan sekadar membaik pulih sebuah bangunan, sebaliknya mengembalikan fungsi sosial dan keagamaan yang amat diperlukan oleh penduduk setempat,” katanya.
Menurut Pengarah Wakaf Latakia, Khalid Amru, pembukaan semula Masjid Al-Eido membawa makna besar kepada komuniti setempat yang sekian lama terkesan akibat konflik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Syria Care serta rakyat Malaysia atas sokongan dan bantuan yang diberikan dalam menjayakan projek pemulihan berkenaan, sambil memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan turut sedang dijalankan di sebuah sekolah di kawasan berbukit berhampiran.
Kos keseluruhan projek baik pulih Masjid Al-Eido berjumlah RM92,350.80, hasil kerjasama antara Syria Care bersama HUMAM Relief dan Pertubuhan Ghulam Al-Dakwah Selangor.

Pemulihan masjid ini diharapkan dapat menjadi simbol kebangkitan semula institusi komuniti pasca konflik di Syria serta menyumbang kepada pemulihan kehidupan sosial dan keagamaan masyarakat di Salma, Latakia.

