Menyedari kepentingan persiapan mental dan spiritual menjelang bulan suci Ramadan, Nieza Salon bersama gabungan Legasi Muslimah menghimpunkan komuniti Muslimah menerusi majlis eksklusif, Majlis Ramadhan dan Kita: ‘Dari Jiwa Turun ke Hati’.
Pengasas Nieza Salon merangkap penganjur utama, Nursyahiera Masri berkata, objektif utama penganjuran ini adalah untuk mengalihkan fokus daripada persiapan fizikal semata-mata kepada pemantapan iman.

“Ramadan adalah masa untuk kita kembali ‘pulang’ kepada Pencipta. Kami mahu setiap wanita yang hadir merasa bahawa persediaan menyambut bulan mulia ini perlu bermula dari dalam diri. Apabila jiwa tenang dan hati bersih, barulah ibadah itu terasa nikmatnya,” jelas beliau.
Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada rakan strategik di bawah Legasi Muslimah yang terdiri daripada Seri Wajah, Makcik Urut, UmmyWax dan Kuku Love.

Bagi memastikan pengisian yang berkualiti, majlis ini menampilkan barisan penceramah selebriti dan tokoh agama seperti Ustazah Norbahyah dan Ustaz Wan Akasah yang menyentuh soal keharmonian keluarga dan pengurusan emosi menjelang bulan puasa. Manakala Ustaz Kazim Elias mengupas topik ‘Dari Jiwa Turun ke Hati’.
Selain pengisian rohani, jelas Nursyahiera, majlis ini bertujuan untuk memberi motivasi dalam mendepani cabaran harian sambil mengejar pahala Ramadhan.
“Kami juga mahu mengukuhkan ukhuwah sesama pelanggan yang selama ini menyokong perniagaan tempatan. Malah ruang perkongsian ilmu mengenai amalan-amalan sunnah yang boleh dipraktikkan sepanjang bulan tersebut.
“Saya berharap agar majlis ini menjadi titik tolak bagi para Muslimah untuk melangkah ke bulan Ramadan dengan semangat baharu dan hati yang lebih lapang,” kongsinya.

