Bukan Sekadar Kerjaya: Program Perantis Tekan Ketahanan Diri dan Keseimbangan Hidup Wanita

Dari Penulis

PROGRAM Kepimpinan dan Pembangunan Wanita Perantis kini muncul sebagai platform utama dalam melahirkan pelapis pemimpin wanita yang bukan sahaja kompeten secara profesional, malah memiliki ketahanan diri (resilience) dan empati yang tinggi.

Dilaksanakan di bawah naungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Adla Group Sdn. Bhd, ini kini memasuki penganjuran tahun kedua. 

Ia menyasarkan pembangunan kapasiti wanita daripada pelbagai sektor untuk mendepani cabaran dunia kerjaya yang semakin kompleks.

Pengasanya, Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan, menyatakan bahawa modul program ini dibangunkan secara khusus untuk menekankan aspek kesedaran kendiri dan refleksi diri.

“Modul kami tidak terikat kepada satu industri sahaja. Sebaliknya, kami memfokuskan kepada kefahaman tingkah laku dan kebolehan memposisikan semula peranan sebagai pemimpin. 

“Ramai wanita mempunyai potensi besar, namun sering terhalang oleh kekangan akses, sokongan, dan keyakinan diri,” katanya.

Bagi edisi kali ini, seramai 46 peserta wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun telah dipilih. 

Program yang berlangsung selama enam bulan bermula Oktober lalu itu dibahagikan kepada dua kohort bagi memastikan kualiti pementoran dan penyampaian modul kekal konsisten.

Sepanjang program, peserta diwajibkan mengikuti lapan sesi pementoran bersama pakar dalam pelbagai bidang, tugasan refleksi kendiri untuk mengenal pasti jurang penambahbaikan diri dan pendedahan kepada keseimbangan kehidupan dan kepimpinan berteras tujuan.

Beberapa peserta telah diiktiraf atas pencapaian luar biasa mereka sepanjang mengikuti program ini ialah Suzana Sukaimi (Penerima Outstanding Mentoring Journey Award) yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak dengan pengalaman 18 tahun dalam media korporat. 

Beliau berjaya menganjurkan program Women Who Rise (WWR): Resilience & Empowerment hasil daripada inspirasi dan sokongan rangkaian (circle) yang dibina dalam Perantis.

Selain itu, Adlia Nurin Badrisya Awalludin (Penerima Emerging Strength Award) menekankan kepentingan kejujuran terhadap emosi dan kesihatan mental dalam kepimpinan, terutamanya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Manakala Dr. Roozita Maskun (Penerima Leadership Presence Award), tokoh pendidik yang melihat program ini sebagai “peta jalan” yang jelas untuk membina legasi kepimpinan yang mampan.

Kejayaan penganjuran tahun kedua ini bakal diteruskan dengan perancangan bagi fasa kedua program. 

Kesinambungan sokongan ini dilihat kritikal bagi memastikan impak pemerkasaan wanita dapat dirasai secara lebih meluas oleh masyarakat dan organisasi di Malaysia.

Dengan visi melahirkan pemimpin yang berupaya membina pasukan mampan, Program Perantis membuktikan bahawa kepimpinan wanita bukan sekadar tentang kedudukan, tetapi tentang pengaruh yang berimpak dan empati terhadap komuniti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Evotooth Platinum Sdn Bhd diiktiraf The Asia Records atas tiga inovasi kesihatan mulut pertama di dunia

The Asia Records dengan bangganya mengiktiraf Dr Martin Ong dan Evotooth Platinum Sdn Bhd atas pencapaian tiga mercu tanda...

More Articles Like This