MENJELANG Ramadan dan Syawal, TV AlHijrah sekali lagi tampil dengan rangkaian program khas yang bukan sahaja sarat pengisian rohani, malah dekat dengan realiti kehidupan seharian masyarakat.
Mengangkat tema Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan, stesen penyiaran Islam negara itu menyusun lebih 20 program khas meliputi ratusan jam siaran sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform penyiaran Islam paling komprehensif di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, perancangan kandungan Ramadan dilakukan lebih awal dan melalui proses analisis yang teliti agar setiap program kekal segar serta relevan dengan kehendak penonton.
“Setiap tahun kami cuba tampilkan kelainan. Sejurus Ramadan berakhir, pasukan terus menilai apa yang berkesan dan apa yang perlu ditambah baik.
“Ramadan mempunyai corak tontonan yang berbeza, jadi strategi penyiarannya juga perlu berbeza,” katanya kepada URTV.

Menariknya, kandungan Ramadan TV AlHijrah disusun mengikut rentak kehidupan umat Islam bermula waktu sahur, waktu bekerja, persiapan berbuka sehinggalah ke malam yang dipenuhi pengisian rohani.
Program teras seperti Islah Ramadan tampil dengan refleksi harian yang membimbing penghayatan ibadah, manakala Tadarus On The Go dan Quran Challenge mengajak masyarakat membudayakan al-Quran secara konsisten dengan pendekatan lebih santai dan mudah diakses.
Bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan, penonton disajikan dengan Malam Seribu Bulan dan Jalan Taubat yang menekankan munajat, muhasabah diri serta makna sebenar taubat.
Tradisi Khatam Ramadan pula diteruskan menerusi siaran langsung bacaan al-Quran selama 12 jam sebagai simbol kesatuan ummah.
Elemen dakwah dan kebajikan turut menjadi tunjang menerusi program Assalamualaikum Sahur dan Assalamualaikum Asar, selain inisiatif Hijrah Prihatin Bubur Lambuk dan program berjenama Ehsan yang menzahirkan nilai ihsan secara praktikal.
Bagi penonton yang gemarkan penceritaan, TV AlHijrah turut mempertaruhkan drama dan program refleksi seperti Ini Kisahku, Peristiwa Penghuni Neraka serta drama bersiri Luka Dalam Rindu yang mengangkat tema keinsafan, kesabaran dan kekeluargaan.
Program santai Dapur Nenek pula menghidupkan nostalgia masakan tradisi sebagai pengikat kasih keluarga menjelang berbuka.
Seiring perubahan landskap media, TV AlHijrah turut memperkenalkan inisiatif digital Langit Dakwah, sebuah platform kandungan dakwah eksklusif untuk media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube.
“Kita sedar realiti hari ini khususnya golongan muda lebih dahulu mencari maklumat dakwah di platform digital berbanding televisyen.
“Sebab itu kita lancarkan Langit Dakwah sebagai platform digital khusus bukan sekadar potongan program TV, tetapi kandungan yang memang dibangunkan khusus untuk Facebook, TikTok, Instagram, YouTube dan platform digital lain,” ujar Namanzee.
Antara tarikan utama ialah konsep Ramadan Quick Drop, segmen dakwah ringkas satu hingga tiga minit yang padat dan mesra tontonan digital, khususnya untuk golongan muda.
Ramadan tahun ini juga diserikan dengan kerjasama bersama Rare TV menerusi Rare AlHijrah: Kembara Wahyu, yang membawa penonton menelusuri perjalanan Nabi Musa AS di bumi Mesir.
Memasuki Syawal, TV AlHijrah meneruskan kesinambungan tema dengan pendekatan Eratkan Kasih, Bertaut Sayang.
Program Salam Lebaran Raya menampilkan ucapan Aidilfitri dari perantauan, manakala telefilem khas seperti Menantu Datuk Nikah Kahwin dan Surat Dari Syurga menyentuh kisah kekeluargaan dan keinsafan.
Program kanak-kanak Jom Dengar Cerita Raya serta Ini Kisahku Raya pula mengingatkan penonton tentang makna sebenar Syawal bukan sekadar perayaan, tetapi ruang memaafkan dan menyatukan hati.
Secara keseluruhan, rangkaian program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah 2026 mengekalkan keseimbangan antara hiburan, dakwah dan nilai kemanusiaan, selari dengan aspirasi membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berkasih sayang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

