KERAJAAN memberi jaminan untuk sentiasa memastikan keselamatan lebih 29,000 rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat susulan konflik yang melanda rantau itu ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, ketika ini terdapat 29,112 individu rakyat Malaysia sama ada berdaftar atau tidak yang berada di rantau Asia Barat.
Menurut Perdana Menteri, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia di Asia Barat berada di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
“Tentunya sebagai kerajaan kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatannya.
“Ramai yang terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan serta sebahagiannya memang sudah menetap dan bekerja di sana.
“Sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka usul untuk mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Wisma Putra sedang memantau perkembangan semasa mengenai konflik itu dari dekat.
Katanya, sebahagian daripada rakyat Malaysia itu telah dibantu dan dihubungi oleh pihak kedutaan.
“Sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan.
“Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi tapi negara-negara lain masih lagi belum mendapat kepastian,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

