MEMASUKI tahun ketiga penganjurannya, syarikat HS Event & Ent Sdn Bhd kembali memenuhi permintaan peminat seni tanah air dengan membawakan Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0.
Acara yang menggabungkan elemen spiritual dan hiburan ini bakal berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur pada 14 Mac ini, menampilkan barisan 10 penyanyi legenda yang pernah mewarnai industri muzik era 80-an dan 90-an.
Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas termasuklah Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata, serta kumpulan nasyid The Rayhan.
Kehadiran bintang-bintang ini bukan sekadar untuk mengubat rindu peminat, malah membawa misi yang lebih besar bersempena dengan keberkatan bulan suci Ramadan.
Penganjur konsert, Mubarak Akhtar yang bekerjasama dengan Datin Seri Dr Riza Datuk Che Umar, menjelaskan bahawa pengisian program kali ini dirangka dengan teliti bagi memastikan nilai-nilai ibadah tetap menjadi keutamaan.

Tidak seperti konsert konvensional, konsert itu menyusun atur cara yang bermula dengan aktiviti tadarus Al-Quran dan tazkirah sebelum waktu berbuka puasa.
“Rata-rata peminat menyukai konsep hiburan dakwah yang cuba kami tampilkan di dalam penganjuran konsert-konsert sebelum ini.
“Di mana kita bukan sahaja menampilkan elemen persembahan dengan nilai-nilai spiritual dan ketuhanan yang bersesuaian, namun apa yang lebih penting ia turut diisi dengan beberapa aktiviti ibadah yang cukup signifikan di bulan Ramadan,” katanya.
Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, para hadirin akan menyempurnakan solat Isyak serta tarawih terlebih dahulu sebelum segmen persembahan artis bermula.
Pendekatan ini diambil bagi menghormati kemuliaan malam Ramadan sambil memberikan ruang kepada peminat untuk bermuhasabah diri melalui lagu-lagu berunsur ketuhanan.
Selain pengisian rohani, konsert ini turut berfungsi sebagai platform kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan penggiat seni sendiri.
Pihak penganjur mensasarkan untuk menyalurkan sumbangan kepada sekurang-kurangnya 25 orang anak seni yang kini sedang berdepan dengan ujian kesihatan dan kekangan kewangan.
Melalui setiap pembelian tiket, sebahagian daripada dana tersebut akan dikumpul untuk diagihkan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
Selain itu, majlis ini juga bakal meraikan anak-anak yatim dengan pemberian duit raya bagi berkongsi kegembiraan Ramadan.
Mubarak menambah, penglibatan 10 artis ternama ini adalah satu pencapaian yang membanggakan buat pihaknya.
“Saya percaya ramai teruja untuk melihat mereka beraksi, apatah lagi kebanyakan mereka sudah mengukir perjalanan kerjaya seni yang hebat serta memiliki ramai pengikut serta peminat.
“Semoga apa yang kita lakukan ini akan membantu meringankan beban anak-anak seni ini menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya lagi.
Penganjuran konsert ini juga dilihat sebagai satu langkah positif dalam memartabatkan semula lagu-lagu malar segar era 80-an dan 90-an dalam acuan yang lebih sopan dan bermakna.
“Dengan pemilihan lokasi ikonik di Saloma, Kuala Lumpur, acara ini dijangka akan menjadi antara tarikan utama bagi warga kota yang mencari pengisian santai namun bermanfaat sepanjang bulan puasa ini,” ujarnya.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan gabungan vokal mantap Shima, To’Ki, Mamat Exists dan rakan-rakan seperjuangan mereka, Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 adalah peluang terbaik untuk berhibur sambil menabung pahala melalui amalan bersedekah secara langsung.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

