“Walau berapa pun kos, ayah usahakan” – Pengorbanan Azmi Saat demi mahu anak mampu bercakap

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

HASRAT untuk mendengar anak memanggilnya ‘ayah’ menjadi dorongan buat vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, 39, mendapatkan bantuan pakar bagi membantu perkembangan pertuturan anak perempuannya, Khalisa Insyirah.

Azmi mendedahkan, sehingga kini Khalisa yang berusia dua tahun empat bulan masih belum mampu menuturkan walau sepatah perkataan bermakna.

Perkara itu dikongsikan penyanyi tersebut menerusi satu hantaran video di Instagram yang memaparkan dia bersama isteri, Nazira Muhammad membawa anak mereka ke sebuah pusat bimbingan kanak-kanak bagi mendapatkan khidmat program intervensi awal.

Menurut Azmi, meskipun Khalisa membesar dengan sihat dan jarang jatuh sakit, dia dan isteri merasakan tindakan awal perlu diambil untuk mengenal pasti keadaan sebenar perkembangan anak mereka.

“Khalisa sudah dua tahun empat bulan. Alhamdulillah, dia jarang sakit. Jarang sangat kami rasa susah menjaga dia. Jauh banyak yang seronok daripada yang sedih.

“Cuma, satu nikmat besar yang belum kami rasai adalah panggilan ayah dan ibu daripada Khalisa. Sampai sekarang Khalisa belum ada sepatah pun perkataan bermakna dari mulutnya.

“Malah, kalau panggil namanya pun Khalisa tak respon. Namun, syukurnya banyak juga bijaknya dari sudut lain,” tulisnya.

Tambah Azmi, dia melakukan pencarian maklumat secara terperinci sebelum menemukan sebuah pusat bimbingan yang menyediakan program intervensi awal bersesuaian dengan usia Khalisa.

“Alhamdulillah kami dipertemukan dengan sebuah pusat bimbingan kanak-kanak yang menyediakan khidmat program intervensi awal. Kebanyakan tempat hanya menerima anak berusia tiga tahun ke atas.

“Berbeza dengan pusat ini yang boleh terima untuk umur Khalisa. Moga sedikit usaha ayah dan ibu ini dapat bantu Adik (Khalisa)untuk cepat bercakap. Ayah akan usahakan walau berapa pun kos yang perlu untuk kebaikan Adik,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Azmi turut memohon doa orang ramai agar urusan mereka sekeluarga dipermudahkan.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif dalam kalangan pengikutnya. Rata-rata netizen menitipkan doa dan kata-kata semangat supaya Khalisa dipermudahkan urusan serta terus menunjukkan perkembangan yang baik.

Untuk rekod, Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011. Pasangan itu pernah melalui episod duka apabila kehilangan anak sulung, Allahyarham Khairul Afnan yang dilahirkan pada 27 September 2021 sebelum meninggal dunia tiga hari kemudian akibat kegagalan fungsi otak.

Kehadiran Khalisa Insyirah pada November 2023 selepas lebih sedekad menanti cahaya mata nyata menjadi anugerah tidak ternilai buat mereka.

Kini, doa dan usaha berterusan menjadi sandaran Azmi dan isteri demi melihat si kecil itu mampu menyebut perkataan pertama yang paling dinanti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This