Nabila Huda akui masih ada rasa ‘kosong’, doa ‘puzzle’ hidup lengkap sebelum tutup mata & serah kepada Amy Search lerai kemelut

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PELAKON, Nabila Huda, 41, menyifatkan bapanya yang juga legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, sebagai individu paling layak dan tepat untuk menoktahkan konflik keluarga yang sudah sekian lama menghimpit hubungan mereka.

Tegas bintang filem Telaga Suriram itu, dia kini tidak lagi mahu membebankan fikiran dengan soal perdamaian memandangkan segala usaha dan penjelasan telah pun diberikan sebelum ini.

Ditemui pada majlis Together Gather anjuran Viu Malaysia di ibu negara, semalam, Nabila atau lebih mesra disapa Abil mendedahkan bahawa dia kini lebih selesa untuk fasa ‘move on’ dan tidak mahu lagi terjebak dalam kitaran emosi yang sama.

“Soal untuk berbaik atau mencari jalan penyelesaian, saya rasa lebih baik tanya pihak sana.

“Sebab saya sudah banyak kali jawab soalan ini. Setakat ini memang tiada jalan penyelesaian.

“Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia yang perlu selesaikan apa yang patut diselesaikan,” katanya kepada URTV.

Tambah Abil, dia sukar membayangkan jika dirinya berada di posisi seorang bapa yang terpaksa berjauhan atau terpisah daripada darah daging sendiri.

Baginya, kehadiran anak adalah nadi kekuatan bagi setiap ibu bapa.

“Kalau saya berada di tempatnya, kehilangan anak dan tak dapat berjumpa, saya tak mampu nak teruskan hidup.

“Saya takkan gembira, kerana itu darah daging saya. Tapi saya tak tahu apa yang dia rasa.

“Mungkin dia rasa yang sama, cuma tak tahu bagaimana untuk bertindak” luahnya.

Menyambut Ramadan pada tahun ini, Nabila mengakui perasaannya kini jauh lebih stabil.

Jika sebelum ini dia sering meluahkan rasa rindu yang mendalam di media sosial, kini dia memilih untuk memadamkan perasaan tersebut demi ketenangan jiwa.

“Untuk Ramadan kali ini, saya sudah tidak merindui sesiapa. Saya dah move forward.

“Rindu yang pernah saya luahkan sebelum ini di media sosial memang betul-betul rindu pada waktu itu.

“Ada perkara yang saya ternampak dan ia ‘trigger’ perasaan tersebut.

“Tetapi saya sudah pun move on. Saya dah penat berfikir dan bercakap tentang perkara sama berulang kali,” ujarnya.

Meskipun kelihatan kental, Nabila tidak menafikan dia hanyalah manusia biasa yang mempunyai pasang surut emosi.

Namun, dia enggan membiarkan kesedihan menyelubungi kebahagiaan keluarga kecilnya.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu kepada Keisha Laila itu mengakui masih wujud satu ruang kosong dalam hatinya yang belum terisi.

Ruang itu hanya boleh disempurnakan sekiranya hubungan kekeluargaan itu kembali bertaut.

Setiap kali sujudnya, doa untuk kebahagiaan yang hakiki tidak pernah putus, namun dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Yang Maha Esa.

“Doa saya cuma satu, supaya hidup saya ini benar-benar bahagia dan lengkap.

“Sekarang saya bahagia, tapi mungkin ada sedikit kekosongan. Kalau kekosongan itu terisi, mungkin kebahagiaan itu akan jadi berbeza.

“Tapi saya sendiri tak dapat bayangkan kerana ia belum sampai ke tahap itu. Mungkin satu hari nanti ‘puzzle’ itu lengkap, atau mungkin juga tidak,” katanya.

Nabila tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, namun tetap menyimpan impian murni tersebut sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Kalau kekosongan itu sempat diisi sebelum saya menutup mata, Alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin kita akan bertemu di kehidupan lain. Saya hanya mampu berdoa,” luahnya dengan nada pasrah.

Dalam perkembangan lain, peminat bakal menyaksikan lakonan hebat Nabila menerusi drama Viu Original berjudul Cela, di mana dia akan bergandingan dengan aktor popular, Hun Haqeem.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This