DI tengah-tengah lambakan naskhah filem tempatan yang sarat dengan tema berat dan intens, filem terbaharu terbitan Tangerine Films Sdn. Bhd., Libang Libu, muncul sebagai sebuah karya yang bertujuan membawa penonton kembali kepada asas hiburan yang santai.
Bakal menjengah pawagam bermula 23 April ini, filem itu mempertaruhkan barisan pelakon berstatus ‘gred A’ dan pemenang anugerah bagi menghidupkan sebuah naratif perpaduan dalam acuan komedi-drama.
Naskhah arahan Bobby Husaini itu bukan sekadar sebuah filem komedi kosong, sebaliknya ia merupakan satu percubaan berani untuk menyajikan realiti masyarakat Malaysia secara jujur tanpa bersifat didaktik.
Keistimewaan utama Libang Libu terletak pada barisan pelakonnya yang terdiri daripada nama-nama besar yang memiliki kredibiliti tinggi.
Antaranya termasuklah Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, dan Azhan Rani.

Malah, kehadiran figura legenda seperti Datuk Yusof Haslam bersama Bront Palarae dan Nadiya Nisaa sebagai penampilan khas memberikan nilai tambah yang luar biasa kepada produksi ini.
Menurut Bobby, pemilihan barisan pelakon ini bukan sekadar untuk mengejar populariti, tetapi bagi memastikan dinamika watak yang mewakili kepelbagaian budaya di Malaysia dapat disampaikan dengan kesan yang mendalam namun tetap bersahaja.
“Apa yang membezakan Libang Libu adalah keupayaannya untuk menghidupkan semula pengalaman menonton yang sudah lama dirindui iaitu gelak tawa bersama keluarga dan teman-teman dalam suasana yang rileks.
“Ia bukan tentang menyampaikan mesej yang berat sehingga membebankan fikiran, tetapi tentang momen yang dikongsi.
“Saya mahu penonton datang untuk ketawa dan pulang dengan rasa ‘feel good’ selepas menonton,” katanya.
Mengambil latar belakang sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah perkampungan Melayu di Perak, Libang Libu menyelami pertembungan budaya, agama, dan gaya hidup.
Walaupun penceritaannya dibina secara ringan, Bobby mengakui terdapat lapisan mesej yang ingin disampaikan melalui sindiran halus terhadap realiti sosial hari ini.
Menyeimbangkan antara elemen komedi dan sensitiviti budaya merupakan cabaran terbesar bagi pasukan produksi bagi memastikan karya ini kekal autentik tanpa menyinggung mana-mana pihak.
“Kami membina penceritaan yang ringan tetapi berlapis agar mesej perpaduan dapat dirasai sendiri melalui dinamika hubungan antara watak, bukannya melalui syarahan.
“Setiap adegan telah diteliti dengan mendalam bersama pasukan dan pelakon supaya ia kekal jujur.
“Dalam setiap gelak tawa itu, sebenarnya terselit satu refleksi tentang bagaimana indahnya toleransi dalam kepelbagaian budaya kita di Malaysia,” tambahnya lagi.
Bagi pihak penerbit, pelancaran Libang Libu pada waktu ini dianggap sangat tepat bagi mengisi kekosongan naskhah berunsur ‘light-hearted’ di pasaran.
Mereka percaya bahawa kekuatan cerita tempatan yang dekat dengan hati masyarakat adalah kunci untuk menarik semula penonton ke panggung.
Dengan durasi 1 jam 47 minit, filem ini dijanjikan bakal menjadi terapi hiburan yang berkualiti, sarat dengan emosi, serta meraikan keunikan masyarakat Malaysia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan hebat para pemenang anugerah ini di pawagam berhampiran anda bermula 23 April ini.
SINOPSIS
Apabila sebuah produksi filem memilih sebuah kampung sebagai lokasi penggambaran, seluruh penduduk jadi kecoh, dari imam, ketua penanggah, bakal pengantin, hinggalah pelakon popular yang rupanya menyimpan konflik identiti sendiri.
Di sebalik kemeriahan itu, dua beradik, Alid seorang “abang long” kampung dan Man Pilem yang diburu hutang akibat ketagihan judi berdepan krisis besar apabila tanah pusaka arwah opah tergadai. Luka lama, rasa dikhianati dan ego memisahkan mereka, namun ancaman luar memaksa mereka bersatu demi maruah keluarga.
Dengan kepelbagaian karakter yang penuh warna – pengarah filem yang tegas, hero filem yang mahu jadi diri sendiri, orang kampung yang kuat adat dan cepat menghukum, kampung kecil itu menjadi pentas sebenar tentang penerimaan, kasih sayang dan erti keluarga.
Libang Libu ialah drama komedi komersial yang menggabungkan konflik adik-beradik, pertembungan budaya dan humor satira dalam sebuah kisah yang lucu, emosional dan sangat dekat dengan realiti masyarakat kita.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

