FIRMA teknologi deep-tech terkemuka Jepun, Homura Heavy Industries Corporation, secara rasmi memilih Malaysia sebagai destinasi sulung pengembangan antarabangsanya melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat teknologi marin tempatan, SS Rover.
Kerjasama strategik ini bakal menyaksikan integrasi teknologi kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) milik Homura dengan kepakaran sistem dron bawah air oleh SS Rover bagi memperkukuh infrastruktur, keselamatan, dan pengurusan bencana di rantau ini.
Melalui pengisian MoU tersebut, kedua-dua syarikat akan membangunkan penyelesaian bersepadu yang boleh disesuaikan mengikut keperluan spesifik pelanggan (customized system), merangkumi aspek reka bentuk sehinggalah kepada aplikasi fungsi di lapangan.
Wakil daripada Leave A Nest yang juga Creation Department Group iaitu Dr. Takumi Jindo, menegaskan bahawa pendekatan ini bukan sekadar penjualan produk sedia ada, tetapi satu usaha pembangunan teknologi berasaskan keperluan sebenar pengguna di Malaysia.

“Homura memiliki keunggulan dalam teknologi dron yang beroperasi di atas permukaan lautan, manakala SS Rover pula merupakan pakar dalam sistem dron bawah air untuk pemantauan marin.
“Gabungan ini membolehkan teknologi dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pengguna, bukan sekadar produk sedia ada,” jelas wakil tersebut.
Antara skop utama kerjasama ini adalah menangani isu kritikal negara seperti pemantauan sisa laut, penyelenggaraan struktur empangan, dan yang paling utama, pengurusan bencana banjir.
Penggunaan USV dilihat sebagai anjakan paradigma dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dalam situasi berisiko tinggi.
“Dengan teknologi dron permukaan air, operasi pemeriksaan dan menyelamat dapat dilakukan tanpa perlu menghantar anggota ke kawasan berbahaya, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan,” ujar kenyataan itu lagi.

Homura Heavy Industries yang diiktiraf sebagai pengeluar utama dron permukaan air berskala tangan di Jepun, membawa kepakaran pembangunan mekanikal dan perisian secara dalaman.
Manakala SS Rover pula memiliki rekod prestasi kukuh dalam sektor ketenteraan serta minyak dan gas.
Gabungan ini dijangka akan mewujudkan rantaian penyelesaian baharu yang lebih kukuh bagi pasaran tempatan dan serantau menerusi pertukaran teknologi (technology exchange).
Langkah ini bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi maritim pintar, malah membuktikan kesediaan syarikat tempatan untuk berdiri sama tinggi dengan pemain industri teknologi tinggi dari Jepun dalam memacu kelestarian dan keselamatan infrastruktur kritikal negara.

