Realiti huru-hara pagi Syawal: Kimbab pertaruhkan Drama Raya sebagai lagu tema Aidilfitri

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SIAPA sangka, rutin pagi raya yang penuh dengan pelbagai ‘drama’ kecil daripada baju Melayu tidak muat sehinggalah ke balang kuih yang kosong, kini diangkat menjadi sebuah naskhah seni yang menghiburkan.

Trio komedi popular, Kimbab yang dianggotai oleh Zulin Aziz, Nasz Sally, dan Maryam DurianKimchi, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu mereka berjudul Drama Raya.

Naskhah ini bukan sekadar lagu raya biasa tetapi ia merupakan sebuah refleksi jenaka tentang realiti sebenar masyarakat Malaysia setiap kali menjelang 1 Syawal.

Dengan melodi yang menangkap telinga (catchy) dan lirik yang sangat dekat dengan hati, Kimbab cuba membawakan nafas segar dalam lambakan lagu raya moden tahun ini.

Zulin, yang bertindak selaku pencipta lagu dan lirik bagi karya ini, menjelaskan bahawa idea Drama Raya tercetus daripada pemerhatiannya terhadap gelagat harian yang sering dianggap remeh namun sebenarnya dialami oleh hampir semuaorang.

Baginya, setiap keluarga mempunyai ‘drama’ tersendiri yang menjadikan sambutan Aidilfitri itu unik.

“Lagu Drama Raya ini sebenarnya terinspirasi daripada apa yang selalu sangat kita semua hadap, terutamanya pada pagi raya.

“Bayangkan situasi dari kuih raya yang tak menjadi, baju raya yang tiba-tiba tak muat, sampailah ke macam-macam drama kecil yang memang berlaku setiap tahun tanpa gagal.

“Saya pasti semua orang pernah melalui fasa Drama Raya mereka sendiri.

“Sebab itu, peminat wajib tonton muzik video lagu ini kerana ia sarat dengan kisah-kisah yang sangat dekat dengan kita semua,” jelas Zulin dengan penuh semangat.

Salah satu tarikan utama yang membedakan Drama Raya dengan lagu raya lain adalah kehadiran Maryam DurianKimchi.

Meskipun berasal dari Korea Selatan, Maryam membuktikan kemampuannya dengan membawakan bahagian rap dalam bahasa Melayu.

Transformasi ini dianggap sebagai satu kelainan berani yang memberikan identiti unik kepada kumpulan Kimbab.

Menurut Zulin, proses melatih Maryam untuk bahagian rap tersebut merupakan satu pengalaman yang mencabar namun melucukan.

“Kelainan paling ketara dalam lagu ini adalah apabila kita ada ‘orang Korea’ yang buat rap dalam bahasa Melayu.

“Memang jenuh juga Maryam nak menghafal lirik itu, tapi dia sangat hebat dan berdedikasi.

“Walaupun penguasaan bahasa Melayu dia sudah sangat baik, cabaran sebenar adalah dari segi sebutan dan tempo rap.

“Dia berlatih berkali-kali tanpa jemu. Alhamdulillah, proses rakaman berjalan sangat lancar kerana komitmen tinggi yang diberikan oleh semua ahli,” tambahnya lagi.

Kekuatan Kimbab sebenarnya terletak pada keakraban ketiga-tiga ahlinya. Sejak tamat program Muzikal Lawak Superstar, hubungan antara Zulin, Nasz, dan Maryam tidak pernah pudar, malah semakin kukuh.

Keserasian yang mereka gelar sebagai “isi dengan kuku” itu menjadi pemangkin utama dalam menghasilkan karya yang nampak bersahaja namun berkualiti.

Selain aspek hiburan, lagu ini turut menyentuh isu jurang generasi antara golongan Millennial dan Gen-Z secara halus.

Ia menggambarkan bagaimana budaya menyambut raya telah berubah mengikut peredaran zaman tanpa mengetepikan nilai tradisi yang murni.

Lebih menarik lagi, Drama Raya juga dipilih sebagai lagu tema rasmi bagi telefilem raya terbaharu lakonan mereka yang berjudul Andartu Cancel Raya yang bakal menemui penonton di saluran Astro tidak lama lagi.

Zulin menyifatkan projek ini sebagai satu pakej lengkap buat para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers.

“Harapan saya cuma satu, semoga Drama Raya mendapat sambutan hangat dan mampu menceriakan suasana Lebaran peminat kami.

“Kalau maklum balas yang diterima memberangsangkan, mungkin tahun depan kita buat sambungan lagi, siapa tahu? Insya-Allah, lagu ini juga akan menghiasi telefilem raya kami nanti. Chincha??” ujar Zulin sambil berseloroh di hujung bicara.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Memori Audionauts bukan penghalang, Ryzall Noh sasar pasaran Malaysia menerusi Natijah Cinta

SELEPAS melakar portfolio ampuh selaku vokalis kumpulan popular Singapura, Audionauts, penyanyi berpengalaman Ryzall Noh kini mengorak langkah lebih berani...

More Articles Like This