SELEPAS melakar portfolio ampuh selaku vokalis kumpulan popular Singapura, Audionauts, penyanyi berpengalaman Ryzall Noh kini mengorak langkah lebih berani demi memperkukuhkan jenama solonya di Malaysia.
Tampil mempertaruhkan buah tangan terbaharu berjudul Natijah Cinta, Ryzall meletakkan harapan tinggi agar naskhah melankolik itu mampu menjadi jambatan utama untuknya merobek hati para pencinta muzik tempatan.
Langkah ini dilihat sebagai satu transisi matang buat Ryzall yang pernah mengecap trofi Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2013 serta Artis Popular Singapura (APM 2015).
Enggan terus dibayangi kejayaan nostalgik fasa beredaran 2010 hingga 2017 bersama kumpulan lamanya, peluncuran Natijah Cinta menjadi bukti komitmen total penyanyi ini dalam membina legasi tersendiri.
Bukan sekadar sebuah runut bunyi cinta yang klise, Ryzall menjelaskan bahawa intipati naskhah ini digali daripada realiti pahit yang sering berlaku dalam fasa perhubungan manusia.
Sesuai dengan judulnya, lagu ini sarat dengan emosi kekecewaan apabila sebuah ikatan murni mula rapuh tanpa disedari.
“Natijah itu sendiri membawa maksud pengakhiran, kesimpulan, atau kesan daripada sesuatu tindakan.
“Melalui lagu ini, saya mahu memotretkan realiti sebenar sebuah perhubungan. Iaitu fasa di mana janji-janji yang pernah dipahat bersama mula retak dan runtuh secara perlahan-lahan.
“Ia bukan sekadar lagu putus cinta biasa. Karya ini sarat dengan emosi kehilangan, rasa kecewa yang mendalam, dan bagaimana kita belajar untuk menerima hakikat bahawa manusia boleh berubah.
“Saya percaya coretan ini sangat dekat dengan masyarakat kerana ada ketikanya, insan yang paling rapat dan kita kenali akhirnya boleh berubah menjadi orang asing,” kata Ryzall.
Titik Beratkan Jiwa, Elak Nyanyian Kosong
Mendapat sentuhan kerjasama daripada komposer Yazri Malik, Natijah Cinta menyuntik elemen pop rock dengan gabungan dinamik antara nuansa nostalgia era 90-an dan sentuhan moden.
Bagaimanapun, di sebalik melodi korus yang mesra telinga (catchy), Ryzall mengakui proses rakaman kali ini menuntut komitmen yang sangat tinggi terutamanya daripada aspek penyampaian emosi.
“Antara faktor utama saya tertarik dengan naskhah ini adalah kerana melodinya yang sangat mudah dihadam selain bahagian korusnya yang menangkap telinga.
“Malah, kesemua elemen daripada melodi, lirik, sehinggalah kepada susunan muzik membawa satu rasa yang sangat jujur. Saya mahu pendengar merasai jiwa yang organik.
“Jujurnya, saya seorang yang sangat cerewet apabila melibatkan soal penyampaian emosi dalam nyanyian.
“Saya enggan lagu ini kedengaran terlalu teknikal atau kosong tanpa jiwa. Jadi, cabaran terbesar adalah untuk mendapatkan ‘feel’ yang paling tepat semasa sesi rakaman.
“Pelbagai eksperimen dari segi susunan muzik dan pencarian ton vokal dilakukan demi memastikan kualiti terbaik dapat disampaikan kepada pendengar,” ujarnya.
Sedia Takluk Sempadan Seni Malaysia
Kerap berulang-alik atas urusan kerja di Kuala Lumpur dan Johor sebelum ini, Ryzall menyifatkan landskap muzik di Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di dalam hatinya.
Justeru, dia berharap agar taruhan terbaharunya ini mendapat maklum balas yang positif daripada peminat di sini.
“Pasaran muzik Malaysia dan para pendengarnya sentiasa dekat di hati saya sejak dahulu lagi.
“Saya berharap agar Natijah Cinta mampu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan warna muzik dan identiti saya dengan lebih dekat kepada peminat di sini.
“Apa yang paling utama, saya harap karya ini diterima dengan hati yang terbuka oleh semua tanpa mengira sempadan negara.
” Pendek kata, lagu ini merupakan sebuah kisah duka (heartbreak) yang diterjemahkan ke dalam bentuk audio.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh penyokong di Malaysia yang tidak pernah lelah menyokong kerjaya seni saya selama ini,” ulasnya.
Bagi para peminat yang ingin merasai sendiri luahan emosi Ryzall Noh, single Natijah Cinta kini sudah boleh mula distrim dan dilayari di semua platform digital utama termasuk Spotify dan YouTube.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

