SELEPAS sekian lama menyepi daripada radar rakaman studio secara berkumpulan, kumpulan pop, The Fabulous Cats, akhirnya kembali mengubat rindu peminat.
Kali ini, mereka tampil mempertaruhkan naskhah terbaharu berjudul Satu Syawal, sebuah karya yang bukan sekadar lagu raya bermusim, tetapi merupakan pembuka jalan kepada projek seni yang jauh lebih besar.
Pelancaran lagu ini yang mendapat kerjasama strategik bersama Luncai Emas Sdn. Bhd, sebenarnya menyimpan sejarah tersendiri.
Menariknya, Satu Syawal bukanlah lagu yang baharu dicipta, sebaliknya ia adalah karya yang telah ‘diperam’ sejak 2014 lagi.
Bagi ketua kumpulan, Cat Farish, lagu ini membawa muatan emosi yang sangat berat.

Menurutnya, proses pembikinan lagu ini melibatkan ramai rakan seperjuangan yang kini telah tiada, menjadikan pelancarannya satu bentuk penghormatan buat mereka.
“Lagu ini mempunyai nilai sentimental yang sangat luar biasa buat kami.
“Ia mengingatkan kami kepada rakan-rakan seperjuangan yang pernah mencurahkan bakat dalam pembikinannya, termasuklah Allahyarham Lok Yu, Kelly, serta Abang Aji yang banyak membantu sebagai pemuzik ‘sessionist’ ketika itu,” katanya kepada URTV.

Bukan sekadar melodi, Satu Syawal turut menyuntik pesanan khidmat masyarakat yang sangat relevan dengan realiti hari ini.
Cat menjelaskan lagu tersebut menyentuh tentang sikap segelintir individu yang terlalu taksub mengejar kerjaya sehingga mengabaikan nilai kekeluargaan.
“Kami ingin mengingatkan bahawa masa itu adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Janganlah kita terlalu sibuk sehingga lupa untuk pulang menjenguk orang tua di kampung.

“Jangan sesekali memberi alasan raya tahun depan masih ada kerana kita tidak tahu sama ada peluang kedua itu akan muncul lagi atau tidak,” tambahnya lagi.
Meskipun setiap ahli kumpulan seperti Adeep Nahar, Alyah, dan anggota lain mempunyai komitmen solo serta kerjaya di belakang tabir, The Fabulous Cats melihat tahun 2026 sebagai waktu yang tepat untuk kembali bersatu atas dasar kematangan.

Apa yang lebih menarik, video muzik (MV) bagi lagu ini turut memanfaatkan teknologi Hybrid AI, membuktikan masih relevan dan sentiasa mengikuti perkembangan arus teknologi semasa dalam karya kreatif mereka.
Majlis pelancaran single raya itu turut dihadiri oleh Pengarah Beatus Live iaitu pelakon, Bella Dowanna.
Menurut Bella, kerjasama itu tidak akan terhenti pada satu lagu raya sahaja.
“Di Beatus Live, kami melihat projek ini sebagai platform untuk bercerita.
“Kerjasama kami dengan The Fabulous Cats adalah satu langkah strategik yang panjang.
“Kami sebenarnya sedang merancang beberapa projek istimewa yang akan diumumkan tidak lama lagi,” kata Bella yang memberi bayangan tentang kolaborasi yang lebih besar.
Menjawab persoalan mengenai kemungkinan penganjuran konsert solo atau showcase berskala besar, Cat tidak menolak perkara tersebut, malah mengakui sudah ada pihak yang mula bertanya.
“Sebagai anak seni, impian untuk beraksi di pentas besar itu sentiasa ada.
“Kami memang sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Walau bagaimanapun, perancangan untuk sebuah konsert memerlukan ketelitian yang tinggi.
“Ia bukan kerja sehari dua jika kita mahu memberikan kualiti yang terbaik atau ‘all out’ buat peminat,” ujar Cat.
Satu Syawal sudah boleh diperdengarkan di semua platform penstriman digital.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

