RAMADAN bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah madrasah terbaik untuk menyemai benih kasih sayang dan empati.
Itulah yang dizahirkan melalui program kebajikan berimpak tinggi, Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim yang berlangsung di Urban Park Hall, Shah Alam, baru-baru ini.
Membawa tema cukup mendalam, Berkongsi Rezeki, Menyemai Harapan, majlis itu berjaya meraikan seramai 50 orang anak yatim daripada Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS).
Kehadiran mereka ditemani oleh tiga penjaga termasuk pengetua asrama tersebut, Halimah Saadiah Mohd Nawi.
Apa yang menarik perhatian pihak media dan tetamu yang hadir adalah kehadiran Muhamad Izzat Samadi, salah seorang individu penting di sebalik penganjuran majlis ini.
Siapa sangka, Izzat merupakan bekas penghuni ASKAS yang pernah menetap di rumah kebajikan tersebut selama enam tahun.
Kisah kejayaan Izzat yang kembali untuk menabur bakti kepada ‘rumahnya’ sendiri menjadi inspirasi paling besar dalam majlis tersebut.
“Pengalaman membesar di asrama ini selama enam tahun telah membentuk siapa saya hari ini.
“einginan untuk kembali dan berkongsi rezeki bersama adik-adik di ASKAS adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan. Saya mahu mereka tahu bahawa mereka sentiasa dihargai oleh masyarakat,” katanya.
Majlis yang bermula pukul 5.30 petang itu bukan sekadar jamuan berbuka kosong.
Majlis gamat apabila deretan selebriti popular tanah air seperti Elly Arifin, Asfan Shah, Wanns Ahmad, Aqeesh Aleeya, Wani Annuar, dan Aiman Zaidi turut hadir memeriahkan suasana.

Bukan sekadar hadir untuk sesi bergambar, para selebriti ini turut terlibat dalam aktiviti Ramadan seperti zikir dan persembahan nasyid yang cukup menenangkan jiwa.
Kehadiran tokoh industri dan tetamu kenamaan seperti YM Tengku Loreta Tengku Dato’ Setia Ramli AlHaj, Dato’ Ivan Lim, serta Dato’ Che Mat Che Ismail turut membuktikan sokongan padu golongan korporat terhadap kerja-kerja amal sebegini.
Bagi memastikan adik-adik ASKAS merasai kemeriahan Aidilfitri yang bakal menjelang, pelbagai sumbangan telah disalurkan.
Zai Sri Gemilang Catering selaku penaja utama bukan sahaja menyediakan hidangan yang menyelerakan, malah turut menaja lokasi majlis yang cukup selesa.
Turut tampil menghulurkan tangan adalah Juz Coffee sebagai penaja bersama. Lebih menggembirakan, adik-adik ini bakal bergaya sakan di pagi raya nanti hasil sumbangan pakaian raya daripada Jakel HQ dan kasut baharu daripada Choctop.
Tidak ketinggalan, sumbangan daripada jenama One Drop Perfume, The Batek Boutique (set lukisan), Nestlé (ais krim), dan Bloomthis (hamper) melengkapkan kegembiraan mereka.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama penganjur melaksanakan misi murni sebegini. Sebelum ini, mereka telah terlibat aktif dalam pelbagai siri bantuan termasuk:
2020: Bantuan golongan asnaf kesan pandemik Covid-19 di Hulu Selangor.
2024: Program kebajikan di Al Khairiah, Sekinchan.
2025: Program di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali.
Pengetua ASKAS, Halimah Saadiah dalam ucapannya sempat menitipkan pesanan bermakna
“Tujuan utama kami adalah untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat anak-anak ini.
“ami mahu mereka merasai nilai kasih sayang dan empati dalam bulan yang mulia ini, agar mereka tidak merasa tersisih daripada arus masyarakat,” ujarnya.
Melalui program ini, diharapkan lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil ke hadapan untuk menyantuni golongan yang memerlukan. Kerana pada akhirnya, tangan yang memberi itu jauh lebih mulia daripada yang menerima.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

