DUNIA penyiaran radio bukanlah sekadar petah berkata-kata, namun ia memerlukan kekuatan mental yang luar biasa untuk berhadapan dengan pelbagai ragam pendengar.
Bagi penyampai radio Suria FM, Elly Arifin, dia memilih untuk tidak melatah meskipun gaya penyampaiannya dalam segmen pagi menjadi sasaran kritikan warga maya baru-baru ini.
Elly, yang juga merupakan seorang pelakon dan pengacara, menyifatkan segala teguran yang dilemparkan sebagai satu proses pembelajaran yang matang.
Baginya, setiap kata-kata yang singgah di telinga mahupun di ruangan komen media sosial diterima dengan hati yang lapang tanpa sedikit pun rasa berkecil hati.
Mempunyai latar belakang sebagai seorang wartawan penyiaran sebelum terjun sepenuhnya ke dalam industri hiburan arus perdana, Elly menjelaskan bahawa dia sudah lama melatih jiwanya agar tidak mudah rapuh dengan kecaman.
“Alhamdulillah, saya tidak mengambil hati dengan segala komen yang diberikan.
“Sebelum saya melangkah lebih jauh dalam bidang radio dan televisyen, saya sudah awal-awal lagi mempersiapkan mental untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan, termasuklah kritikan yang pedas.
“Saya lebih suka melihat setiap teguran itu daripada perspektif yang membina.
“Ini adalah ruang untuk saya terus memperbaiki diri kerana saya tidak mahu dibuai rasa ego atau cepat melatah.
“Kadangkala, orang luar lebih nampak kelemahan yang kita sendiri tidak sedar,” katanya kepada URTV ketiks ditemui pada majlis Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim di Shah Alam, baru-baru ini.
Berbeza dengan segelintir selebriti yang memilih untuk menutup ruangan komen atau mengabaikan pendapat netizen, Elly mengambil pendekatan yang lebih berani.
Dia mengakui membaca setiap maklum balas yang diterima kerana percaya bahawa pendengar adalah cermin kepada kualiti kerjanya.
Menurut Elly, sekiranya tiada siapa yang menegur, dia mungkin akan berada dalam zon selesa dan menganggap segala-galanya sudah sempurna.
“Saya memang memperuntukkan masa untuk membaca komen dan cuba menghadam setiap teguran dengan minda terbuka.
“Tanpa teguran orang ramai, kita mungkin akan terus berasa selesa dan menganggap kerja kita sudah cukup bagus.
“Mungkin ada beberapa perkara atau kesilapan kecil yang saya sendiri terlepas pandang, jadi apabila ada yang sudi menegur, saya anggap itu sebagai panduan berharga.
“Bagi saya, setiap hari yang dilalui adalah satu proses menimba ilmu. Saya sangat menghargai setiap nasihat dan akan menggunakannya untuk terus memantapkan mutu penyampaian saya di udara,” tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai dinamika di konti radio, Elly yang mengendalikan segmen pagi bersama pelawak Fad dan Ajak mengakui ada berbincang dengan rakan setugasnya mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh netizen.
Salah satu perkara yang menjadi perhatian adalah soal penggunaan kata ganti diri dan tatasusila ketika berkomunikasi.
Elly sedar, walaupun mereka bertiga mempunyai hubungan akrab di luar kerja, batas profesionalisme tetap perlu dijaga demi keselesaan pendengar.
“Kami bertiga ada duduk berbincang mengenai hal ini. Saya cuba mempraktikkan cara komunikasi yang lebih sesuai bersama Fad dan Ajak.
“Sebagai seorang wanita, saya faham bahawa penggunaan panggilan seperti ‘saya’ dan ‘awak’ adalah lebih manis dan sopan untuk didengari.
“Walaupun mereka berdua adalah rakan rapat saya, itu bukan alasan untuk saya bersikap sambil lewa.
“Saya perlu sentiasa ingat saya bukan sekadar berbual dengan kawan di dalam konti, tetapi saya sedang berbicara dengan ribuan pendengar yang mempunyai pelbagai latar belakang.
“Saya jadikan ini sebagai satu pengajaran besar untuk memastikan penyampaian saya lebih mesra dan diterima oleh semua pihak,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

