Pembangkang gesa Sidang Khas Dewan Rakyat bincang impak konflik Asia Barat

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PEMBANGKANG menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan impak konflik yang berlaku di Asia Barat terhadap Malaysia dan ekonomi global.

Gesaan itu telah dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sepucuk surat rasmi yang dihantar kepada Perdana Menteri, semalam.

Dalam hantaran di Facebook, Hamzah bagi pihak ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang memaklumkan, surat rasmi itu diutuskan bagi memohon pertimbangan memanggil satu Sidang Khas Dewan Rakyat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam kadar segera.

Menurut beliau, ia bagi ahli-ahli Dewan Rakyat berbincang dan berbahas tentang implikasi peperangan di Iran serta kesannya terhadap Malaysia dan ekonomi global secara komprehensif.

“Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang menerima pelbagai bentuk persoalan dan reaksi dalam kalangan rakyat susulan pengumuman Perdana Menteri, semalam.

“Perkara-perkara yang dibangkitkan perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus khususnya dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Permintaan ini mencerminkan komitmen dan harapan kami di blok pembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa siap siaga mendepani cabaran ekonomi semasa terutama dalam aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam hantaran tersebut.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut berkongsi surat rasmi bertarikh 26 Mac yang telah diutuskan kepada Perdana Menteri.

Dalam surat tersebut, Hamzah berkata, Sidang Khas Dewan Rakyat itu membolehkan semua ahli-ahli Parlimen membincang serta membahaskan isu tersebut secara telus, bertanggungjawab dan berfokus kepada kepentingan rakyat serta negara.

Katanya, situasi di Iran bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia, malah turut menjejaskan kedudukan fiskal negara serta keupayaan kerajaan untuk meneruskan penyaluran subsidi dan bantuan kepada rakyat secara mampan.

Semalam, Perdana Menteri dalam perutusan khas antara lain memaklumkan kerajaan akan menyelaras kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Saya terharu, lega akhirnya dapat jemputan ikhlas daripada Anthony Loke’ – Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa terharu dan lega kerana 'akhirnya' mendapat jemputan yang 'ikhlas' daripada...

More Articles Like This