KERAJAAN didesak supaya mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan pelaksanaan hukuman mati itu bukanlah soal menghukum semata-mata.
Menurut beliau, ia merupakan mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dengan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi.
“Apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap bahawa dia mempunyai niat untuk membunuh kerana tindakannya itu secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.
“Kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pemandu Honda City yang melanggar seorang penunggang motosikal hingga menyebabkannya maut didapati positif dadah dan berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan umur 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang telah dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu tersebut dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Akibat pelanggaran tersebut, katanya, mangsa seorang lelaki tempatan umur 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bukan sekadar kemalangan tapi kecuaian melampau
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan kejadian itu bukan sekadar satu kemalangan tetapi kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.
“Ternyata, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi.
“Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

