MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, 18 tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menbenarkan permohonan semakan hukuman mati Azilah, 48, selaku pemohon bagi mengetepikan hukuman gantung berkenaan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang bersama-sama Tengku Maimun ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan
Justeru, panel hakim itu menggantikan hukuman mati itu dengan pemenjaraan 40 tahun bermula dari tarikh Azilah ditangkap pada 1 November 2011 selain turut mengarahkan pemohon itu dikenakan 12 kali sebatan.
Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Ketika prosiding, peguam J. Kuldeep memaklumkan mahkamah bahawa bapa mangsa, Dr. Shaariibuu Setev
menyokong permohonan semakan hukuman mati yang difailkan oleh Azilah untuk diganti kepada pemenjaraan.
“Kami ada surat daripada bapa mangsa, beliau juga meminta supaya hukuman mati diganti kepada penjara,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar membantah semakan hukuman mati Azilah selain memohon agar mahkamah mengekalkan hukuman gantung sampai mati sepertimana yang telah diputuskan sebelum ini.
Sebelum ini pada 2009, Azilah telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Sementara itu, mahkamah yang sama telah melepas dan membebaskan seorang lagi individu iaitu penganalisis politik, Abdul Razak Baginda daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun Azilah dan Sirul Azhar telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas pertuduhan tersebut pada 2013, selepas mahkamah itu membenarkan rayuan mereka bagi mencabar sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.
Selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, Sirul Azhar telah terbang ke Australia untuk melawat anaknya namun dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen negara itu sebelum dibebaskan pada akhir tahun lalu.
Kemudian pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Ketika itu, Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut memandangkan masih berada di Australia.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor.
Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.
Bagaimanapun, kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

