SERAMAI 13,779 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Keputusan itu diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dalam sidang media, hari ini.
Mohd Azam memaklumkan, jumlah tersebut menurun sedikit berbanding 13,827 calon atau 3.65 peratus yang memperoleh kombinasi Gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran pada tahun 2024.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah calon yang memperoleh keputusan semua A+ meningkat seramai 24 calon kepada 376 calon dalam SPM 2025 ini.
“Sementara itu, seramai 92,347 calon atau 23.76 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran.
“Angka ini telah menunjukkan peningkatan seramai 6,307 orang.
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau Gred E bagi semua mata pelajaran adalah seramai 141,728 orang berbanding 136,791 calon pada tahun 2024,” katanya dalam sidang media tersebut.
GPK terbaik sejak 2021
Sementara itu, Mohd Azam mengumumkan prestasi SPM 2025 juga merupakan pencapaian terbaik sejak format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) diperkenalkan pada tahun 2021.
Menurut beliau, pencapaian itu dapat dilihat menerusi prestasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang mencatatkan skor peningkatan kepada 4.42 mata.
“Dengan rasa syukur dan sukacita, GPK SPM 2025 adalah 4.42 mata.
“Catatan ini menunjukkan peningkatan prestasi SPM 2025 berbanding GPK pada tahun 2024 iaitu sebanyak 4.49 mata.
“Tahniah kepada semua yang telah berusaha dan bersungguh-sungguh memberikan komitmen untuk pencapaian ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan prestasi GPK bagi SPM tahun 2025 menyaksikan jurang pencapaian calon antara bandar dengan luar bandar semakin mengecil.
Katanya, GPK di kawasan bandar bagi SPM 2025 mencatatkan 4.40 mata berbanding 4.47 pada SPM 2024.
Di kawasan luar bandar pula, beliau memaklumkan, GPK di luar bandar merekodkan 4.81 mata berbanding 4.92 mata tahun sebelumnya.
“Ini bermakna usaha-usaha untuk melihat kesaksamaan dalam pendidikan ini mula kelihatan dengan mengecilnya jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

