TIDAK mahu lagi berdiam diri apabila nama artis naungannya terpalit dengan kontroversi panas, syarikat pengurusan Stars Powerhouse Entertainment tampil menyatakan pendirian tegas bagi mempertahankan reputasi pelakon, Alya Iman.
Tindakan itu diambil susulan tularnya dakwaan liar di platform media sosial yang mengaitkan Alya sebagai individu ketiga atau punca di sebalik keretakan rumah tangga sebuah pasangan selebriti popular baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Instagram, pihak pengurusan menegaskan bahawa segala spekulasi yang sedang bertebaran itu adalah tidak benar sama sekali.
Menurut mereka, penyebaran maklumat palsu tersebut bukan sahaja tidak beretika, malah secara langsung telah mencalarkan imej dan reputasi Alya sebagai seorang anak seni.
“Pihak Stars Powerhouse Entertainment memandang serius terhadap sebarang bentuk kenyataan palsu yang sengaja disebarkan untuk mengaitkan Alya dengan konflik perceraian pasangan selebriti yang sedang tular.
“Kami ingin menegaskan bahawa segala tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata dan langsung tidak mempunyai asas yang kukuh,” jelas wakil pengurusan tersebut dalam satu kenyataan.
Menyedari impak negatif yang dibawa oleh ‘jari-jari nakal’ netizen di media sosial, syarikat pengurusan tersebut memberi amaran mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang terhadap mana-mana individu yang dikesan memulakan atau menyebarkan fitnah berkenaan.
Pihak Stars Powerhouse Entertainment juga menggesa agar semua pihak yang telah memuat naik kandungan berunsur fitnah untuk menurunkan hantaran tersebut dengan kadar segera sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kami tidak akan memberikan sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemar nama baik artis kami. Tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran naratif palsu ini.
“Justeru, kami menuntut agar segala kandungan berkaitan dihentikan penyebarannya dan dipadamkan dari semua platform media sosial serta-merta,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut menyeru orang ramai agar lebih bijak dalam menilai maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan khabar angin yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan maruah orang lain.
Isu yang membabitkan maruah dan kerjaya seseorang bukanlah perkara yang boleh dibuat bahan jenaka atau dijadikan modal untuk meraih tumpuan (engagement) di media sosial.
Sehingga kini, Alya Iman dilihat lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak membalas komen-komen negatif secara peribadi, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya urusan penjagaan imej dan tindakan undang-undang kepada pihak pengurusan bagi memastikan keadilan berpihak kepadanya.

