MESKIPUN dihimpit rasa terkilan dengan tindakan bekas kekasihnya, DJ Kidd, yang membuat pengumuman perpisahan secara terbuka, aktres Emma Maembong memilih untuk tidak memanjangkan sengketa.
Sebaliknya, bintang utama drama Cemburu Seorang Perempuan itu tampil dengan pendirian matang demi menjaga maruah diri dan ketenteraman hidupnya.
Emma, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 34, mengakui sebagai seorang wanita, dia berasa ralat apabila urusan hati yang sepatutnya menjadi rahsia peribadi kini menjadi bualan khalayak ramai selepas pihak lelaki mengeluarkan kenyataan mengejutkan.
Ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita di sebuah hotel di ibu negara semalam, Emma menjelaskan dia sebenarnya lebih selesa menyimpan kemas segala duka lara percintaan daripada pengetahuan umum.
Namun, dia terpaksa akur apabila situasi tersebut sudah tidak lagi berada di bawah kawalannya.
“Sejujurnya, saya sentiasa cuba mengelak daripada menjaja cerita dalaman kepada masyarakat.
“Namun, memandangkan dia sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi, saya hanya mampu mengikut arus.
“Tidak dinafikan, ada sedikit rasa ralat apabila perkara ini berlaku, tetapi saya sedar kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal hati dan tindakan orang lain terhadap kita,” katanya kepada URTV.
Pengalaman pahit melalui episod perceraian sebelum ini ternyata banyak mengajar Emma untuk menjadi lebih kental.
Baginya, setiap kegagalan bukanlah noktah kehidupan, melainkan sebuah proses pendewasaan yang mematangkan pemikirannya dalam menilai erti hubungan.
“Bagi saya, hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan membenci atau bermasam muka.
“Walaupun kami sudah tidak lagi bersama sebagai pasangan kekasih, saya tetap memilih untuk berhubung sebagai kawan biasa.
“Saya bukan jenis yang suka bermusuh. Apabila perpisahan ini terjadi, saya reda dan menerima segala ketentuan-Nya dengan hati yang terbuka,” ujarnya.
Ditanya mengenai impak emosi akibat perpisahan tersebut, Emma menafikan dirinya sedang mengalami trauma yang teruk.
Bagaimanapun, dia tidak menolak wujud perasaan serik untuk kembali menjalin hubungan dalam masa terdekat, apatah lagi selepas namanya terpalit dengan spekulasi perkahwinan yang dicetuskan oleh bekas kekasihnya sebelum ini.
“Rasanya terlalu dramatik jika saya katakan saya trauma dengan apa yang berlaku.
“Ini adalah sebahagian daripada warna-warni kehidupan. Cuma, jika ditanya soal serik, saya akui perasaan itu ada sedikit.
“Buat masa ini, fokus saya bukan pada mencari pengganti. Jika suatu hari nanti saya dijodohkan lagi, saya akan terima, tetapi biarlah waktu yang menentukan.
“Fokus saya kini adalah masa depan dan anak-anak,” tegas ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini.
Terdahulu, hubungan Emma dan DJ Kidd pernah menjadi tular selepas lelaki berkenaan menggunakan gelaran ‘isteri’ dalam satu hantaran media sosial, sehingga ramai menyangka mereka sudah bernikah secara rahsia.
Namun, pengumuman putus cinta yang dibuat DJ Kidd baru-baru ini secara tidak langsung menafikan segala spekulasi tersebut dan menamatkan teka-teki mengenai status sebenar mereka.
Emma kini lebih selesa memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang semakin memuncak serta membesarkan dua anak lelakinya, Shariq Arshan Gabriel dan Shakille Aryan Shah.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

