PELAWAK Shuib meluahkan kesyukuran apabila isterinya, Watie Hanifiah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka, hari ini.
Kelahiran bayi perempuan yang dinanti-nantikan itu berlangsung di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara, Selangor, kira-kira pukul 3.47 petang.
Berita gembira tersebut disahkan sendiri oleh Shuib menerusi satu hantaran penuh emosi di laman Instagram miliknya, sebentar tadi.
Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 42, meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan isterinya sepanjang proses kehamilan sehingga saat melahirkan.
Bagi Shuib, kehadiran puteri terbaharunya itu merupakan satu lagi bukti kebesaran Tuhan dalam mengatur perjalanan hidup mereka sekeluarga.
Menerusi hantaran tersebut, Shuib berkongsi rasa syukur yang tidak terhingga atas kelancaran proses persalinan tersebut.
“Alhamdulillah, pada hari Isnin, 6 April 2026, tepat pukul 3.47 petang, telah lahirnya puteri kesayangan Daddy dan Mummy.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya kerana menjadi seorang wanita yang sangat luar biasa.
“Syukur kepada Allah, segala-galanya berjalan dengan cukup mudah dan dipermudahkan,” katanya.
Shuib turut menitipkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk peminat dan rakan taulan, yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan Watie dan bayi mereka sejak awal kehamilan lagi.
“Perancangan yang Allah tetapkan buat kami adalah sangat luar biasa.
“Sebagai hamba-Nya, kami reda, sentiasa bertawakal, dan sentiasa memanjatkan kesyukuran.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga selama ini,” ujarnya.

Kelahiran ini dianggap sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan pasangan berkenaan, memandangkan Watie pernah melalui fasa duka apabila mengalami keguguran cahaya mata pertama mereka pada Mei tahun lalu.
Ketabahan pasangan ini mengharungi ujian tersebut akhirnya dibalas dengan kehadiran bayi perempuan ini yang lahir dalam keadaan sihat.
Untuk rekod, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Sebelum ini, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup itu, Shuib dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 14; Dzahira Talita Zahra, 12; Ariq Matin, 9; dan Ayash Affan yang kini berusia 5 tahun.
Setakat ini, pasangan tersebut belum mendedahkan wajah mahupun nama penuh puteri sulung mereka itu kepada umum.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

