PELAWAK dan usahawan Shuib Sepahtu bersyukur apabila pakar perubatan memaklumkan kecederaan yang dialami anak perempuannya, Dzahira Thalita Zahra, 12, akibat terkena minyak panas di tangan dan muka tidak begitu serius.
Menurut Shuib atau Shahimira Muhamad,41, pada awalmya dia menyangkakan kecederaan yang dialami Thalita tidaklah terlalu besar.
“Saya pun tak sangka insiden Thalita terkena minyak panas itu sangat besar sebab Watie pun panik ketika itu.
“Ketika kejadian, saya berada di luar dan tak tahu apa yang berlaku di rumah.
“Bila sampai saja di rumah, saya tak sangka insiden itu agak serius sehingga tangan dan muka Thalita teruk melecur pada malam itu.
“Watie pula menggigil panik tak tahu nak buat apa bila berlakunya kejadian yang agak mencemaskan di rumah,” katanya kepada URTV.

Tambah Shuib, biarpun dia memahami perangai anak perempuan tunggalnya itu yang ‘kuat drama’ namun apabila berlaku insiden terbabit, dia akui kesakitan yang dialami.
“Thalita menjerit menahan sakit. Saya rasa jeritan dia tu satu Puchong boleh dengar.
“Dia dari kecil memang seorang yang ‘drama queen’ tapi saya tahu bila kena minyak panas ni, memang sangat sakit.
“Selepas bawa ke klinik, doktor kata semuanya okay. Hanya perlu sapu ubat yang diberikan dan tidak boleh kopek luka. Insya-Allah, selepas sebulan akan sembuh dengan kulit yang baru,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan keua restoran Sepah Penyet di Presint 15, Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Shuib tersentuh dan dalam masa sama gembira melihat isterinya, Watie Hanifiah yang tidak mengeluh melayan anak-anak biarpun berada berdepan situasi mencemaskan.

“Asbab apa yang berlaku, saya kagum dengan Watie yang mainkan peranan besar…saya suka tengok dia jaga Thalita yang dalam kesakitan.
“Waktu tangan Thalita melecur tempoh hari, dia tak nak orang lain, hanya mahu Watie duduk temankannya sehingga nak ambil ubat pun tak boleh.
“Dulu telinga kanan Mateen hampir pekak sebab masuk air sehingga ada fungus. Setiap hari selama sebulan Watie akan korek dan bersihkan telinga Mateen sampailah bakteria hilang.
“Sebab itulah dia sayang sangat dengan Watie. Kalau tanya kenapa dia sayang sangat dengan Watie, dia akan jawab sebab dah tolong bersihkan telinganya.
“Saya terharu dan seronok pun ada. Saya tak tahu apa akan berlaku jika Watie tiada,” luahnya.
Terdahulu, Thalita berdepan detik cemas apabila terkena minyak panas ketika membantu Watie memasak pada 7 Ogos lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram milik Watie, kejadian itu berlaku ketika Thalita membantunya menggoreng kentang dan minyak panas di dalam kuali meletup selepas dipercayai terkena air.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

