JIKA musim pertama sudah cukup untuk membuatkan penonton tidak senang duduk, nampaknya Talk To My Manager (TTMM) musim kedua bakal hadir dengan impak yang lebih ‘dahsyat’! Astro secara rasmi mengumumkan kepulangan program realiti ikonik ini yang bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian, tetapi sebuah medan pembuktian legasi seni antara ibu bapa dan anak.
Bakal bersiaran secara langsung mulai 19 April ini, pukul 9 malam di Astro Ria, musim terbaharu ini menjanjikan lebih banyak drama, emosi, dan kejutan yang pastinya akan menjadi bualan hangat di media sosial.
Apa yang menjadikan TTMM unik adalah formatnya yang memerlukan selebriti bertindak sebagai “Manager” kepada anak-anak mereka sendiri.
Musim ini mengekalkan konsep ‘pass-the-baton’, di mana kepercayaan dan keserasian antara dua generasi ini diuji sepenuhnya di atas pentas besar.
Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, menyifatkan program ini sebagai satu platform yang sangat istimewa kerana ia mendedahkan sisi peribadi selebriti yang jarang dilihat oleh peminat.
“Talk To My Manager sebenarnya melangkaui sebuah pertandingan biasa. Ia adalah satu pentas yang meraikan kehebatan bakat, kekuatan legasi, dan paling penting, keutuhan hubungan kekeluargaan.
“Kami sangat terharu dengan sokongan padu musim lalu dan kali ini, kami ingin memberi peluang kepada penonton melihat sisi matang hubungan selebriti dan anak mereka yang mungkin selama ini tersimpan rapi,” katanya.
Tambahnya, gandingan istimewa dalam musim ini pasti akan memikat hati penonton dengan pelbagai kejutan yang telah diatur rapi.
Musim kali ini menyaksikan penyertaan nama-nama besar yang mempunyai pengaruh kuat dalam industri. Antara yang paling mencuri tumpuan pastinya gandingan Datuk Seri Vida & Cik B, Adira & Anggrek, serta Nana Mahazan & Althea.
Tidak ketinggalan, barisan lain yang sedia memberikan saingan sengit termasuklah Dato’ Fazley & Fariedz Fazley, Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Amarra, Datuk A. Aida dan Azeva, Ani Maiyuni & Viviana, Jamilulhayat & Hussain, serta Safura & Kim Khairii.
Kehadiran legenda penyiaran, Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, ditambah pula dengan komen-komen ‘pedas’ dan membina daripada juri tetap, Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, pastinya akan menghidupkan lagi suasana kompetitif program ini.
Kejutan ‘TTMM Experience’: Kini Giliran Anda Jadi Bintang!
Satu lagi pembaharuan drastik yang diperkenalkan oleh Astro buat julung kalinya ialah ‘TTMM Experience’. Ini merupakan sebuah kem latihan eksklusif 2 Hari 1 Malam yang dibuka kepada orang ramai, membolehkan ibu bapa dan anak-anak luar sana merasai sendiri proses latihan profesional yang sering dilalui peserta realiti Astro.
“Menerusi kem latihan khas ini, kami ingin mencungkil dan memupuk bakat generasi baharu secara lebih serius. Buat pertama kalinya, modul latihan serta ‘workshop’ yang sebelum ini bersifat eksklusif untuk peserta program kami kini dibuka kepada umum. Ini adalah peluang emas untuk sesiapa sahaja yang mahu melihat sejauh mana potensi diri mereka dibentuk oleh pakar industri,” tambah pihak pengurusan Astro.
Peserta kem ini bakal dibimbing oleh mentor profesional dan selebriti terkenal, merangkumi modul nyanyian, persembahan pentas, serta pembinaan keyakinan diri.
Bagi anda yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan drama dan kemeriahan ini, pastikan anda bersedia di depan skrin TV atau strim secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka. Adakah Cik B bakal mengikut jejak langkah ibunya sebagai usahawan seni berjaya? Atau adakah Anggrek bakal menjadi ‘diva’ baharu industri? Sama-sama kita nantikan 19 April ini!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

