JIKA sebut sahaja nama Hujan, pasti terbayang imej remaja berbaju hitam, berambut ‘fringe’ dan kegilaan muzik indie rock yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa sekitar 2005.
Kini, selepas dua dekad rintik-rintik karya mereka membasahi industri muzik Nusantara, kumpulan legenda ini sedia untuk menggegarkan bumi Kuala Lumpur menerusi perayaan HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN.
Bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 27 Jun depan, konsert berskala mega itu bukan sekadar sebuah persembahan pentas biasa.
Ia adalah satu pengiktirafan terhadap perjuangan ‘hati kering’ Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas, Azham Ahmad dan Izzat Uzaini dalam mengekalkan relevansi muzik indie di arus perdana.
Meskipun judul konsert meletakkan nama mereka di depan, namun bagi tonggak utamanya, AG, konsert ini sebenarnya adalah dedikasi buat seluruh penggerak muzik bebas yang pernah dipandang sepi suatu ketika dahulu.
“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN sebenarnya bukan semata-mata mengenai kami, tetapi ia adalah satu keraian untuk menghargai perjuangan rakan-rakan pemuzik indie yang pernah berhempas-pulas merobohkan tembok kasta muzik komersial.
“Dulu, muzik indie dianggap asing dan sukar untuk diterima pasaran, namun hari ini kita buktikan bahawa kepelbagaian genre inilah yang mewarnai industri kita,” ujar AG dengan nada penuh bangga.
Menurutnya lagi, kejayaan Hujan bertahan selama 20 tahun dengan hanya berbekalkan sembilan buah album studio adalah satu magis yang tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu daripada tulang belakang mereka iaitu Raingers.

Bagi pihak penganjur, ICON Entertainment, keputusan untuk menganjurkan konsert ini adalah satu tanggungjawab untuk meraikan sebuah ikon.
Pengasasnya, Iman Tang, menyifatkan Hujan sebagai kelompok pemuzik yang memiliki keberanian luar biasa dalam merubah landskap muzik tempatan.
“Dalam setiap fasa muzik Malaysia, pasti akan muncul karyawan yang akhirnya menjadi legenda dan Hujan adalah salah satu daripadanya.
“Keberanian mereka menembusi pasaran ketika genre pop sedang mendominasi adalah satu kualiti yang jarang kita temui.
“Konsert ini adalah apresiasi khas buat revolusi ‘Empayar’ mereka yang cukup hebat,” ulas Iman Tang yang yakin Stadium Hoki bakal ‘dihujani’ peminat dari Singapura, Brunei dan Indonesia.
Apa yang menarik, Hujan menjanjikan sebuah ‘setlist’ kayangan dengan rangkaian lebih 40 buah lagu daripada arkib katalog mereka.
Daripada lagu berhantu seperti Pagi Yang Gelap dan Aku Skandal sehinggalah ke karya-karya yang lebih ‘deep’, semuanya bakal dipersembahkan dalam satu malam yang penuh nostalgia.
Uniknya, peminat yang hadir disarankan untuk memakai baju daripada jenama atau kumpulan (band) tempatan sebagai tanda sokongan kepada ekosistem kreatif tanah air.
Ini sejajar dengan tema mereka yang mahu meraikan ‘scene’ secara menyeluruh.
“Hujan 20 Tahun adalah detik untuk kami meraikan anda, wahai Raingers.
“Tanpa kesetiaan kalian sejak 2005, kami mungkin tidak akan sampai ke tahap ini.
“Jadi, kami mengundang anda semua untuk sama-sama mencipta sejarah yang tidak akan dilupakan pada 27 Jun nanti,” tambah AG lagi.

Bagi anda yang tidak mahu terlepas momen bersejarah ini, tiket akan mula dijual pada 10 April ini, pukul 3 petang menerusi laman web Ticket2u.
Harga tiket dibahagikan kepada beberapa kategori unik yang diambil daripada judul lagu-lagu hits mereka:
| Kategori Tiket | Harga (RM) |
| SANG ENEMY | RM158 |
| 123 GO | RM188 |
| MENCARI KONKLUSI | RM208 |
| LONELY SOLDIER BOY | RM228 |
| ABCDEFGHUJAN | RM248 |
| CHECKCHECK ROCKROCK | RM268 |

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

