KELANTAN, Terengganu, Johor, Pahang dan Sabah, antara negeri di Malaysia yang tersenarai dalam 10 Bandar Paling Bahagia bagi tahun 2026.
Anugerah tahunan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini, diukur berdasarkan Indeks Kebahagiaan dari Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets).
Mengiktiraf bandar atau daerah dengan tahap kebahagiaan penduduk tertinggi, faktor seperti kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, persekitaran bersih, keselamatan dan hubungan komuniti di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), menjadi kriteria utama.
Bandar Paling Bahagia 2026 diumumkan semasa Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 pada 5 April lalu, yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau dalam kenyataannya memaklumkan, KPKT akan terus komited memperkukuhkan agenda kebahagiaan rakyat melalui pendekatan pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berteraskan kesejahteraan.
Ayuh kita kenali keistimewaan 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun ini.
- Bandar Dabong, Kelantan

Pekan kecil yang terletak di daerah Kuala Kerai adalah destinasi tersembunyi yang kaya dengan khazanah alam semula jadi.
Sebut sahaja Dabong, pasti terbayang di fikiran kita satu penggembaraan menarik dengan keretapi.
Dari Gemas ke Dabong dengan menikmati kehijauan alam di dalam keretapi, pasti menjanjikan satu pengalaman yang cukup berbeza.
Bagi pencinta makanan, boleh cuba menikmati menu-menu istimewa Dabong di Adam Cafe, Restoran Lepan Anjung, Yahya Ikan Bakar, Jelawang Cafe, Kak Lah Kedai Makan Dabong, Kak Nah Mee Udang Kg Stong KPK, Kedai Makan D Mieza dan banyak lagi.
Dabong juga kaya dengan destinasi memukau seperti Air Terjun Jelawang di Taman Negeri Gunung Stong, Kompleks Gua Ikan, Lata Kertas, Sungai Kenerong, Kem Baha dan Gunung Stong yang cukup terkenal dalam kalangan pendaki.
- Bandar Kluang, Johor

Nama Kluang berasal daripada perkataan Melayu ‘keluang’, iaitu sejenis kelawar besar atau kelawar buah. Beberapa dekad lalu, haiwan ini pernah wujud dalam bilangan yang banyak di daerah Kluang.
Namun disebabkan pemburuaan dan pemusnahan habitat semula jadinya, haiwan ini hampir tiada lagi.
Kluang cukup sinonim dengan kopi. Bagi peminat kopi, Kluang Rail Coffee yang terletak dalam Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dan Kilang Kopi Kluang adalah destinasi yang wajib dikunjungi.
UK Farm Agro Resort merupakan antara ladang kambing dan biri-biri terbesar di Malaysia iaitu dengan keluasan sekitar 100 ekar, juga terdapat di Kluang.
Selain penternakan moden, terdapat juga ladang seluas 20 ekar dengan buah-buahan seperti markisa, sirsak, rambutan, durian dan banyak lagi.
Peminat barang antik pula boleh berkunjung ke Mastor’s Clogs Gallery.
Kluang juga terkenal dengan lokasi yang mengeluarkan pelbagai kudapan enak di Hairee Food Industri yang boleh dibeli sebagai buah tangan.
- Bandar Kuala Terengganu, Terengganu

Dikenali sebagai Bandaraya Warisan Persisir Pantai, Kuala Terengganu bukan sahaja kaya dengan keindahan pantai, bahkan melangkaui aspek budaya, sejarah dan juga warisan makanan.
Salah satu tarikan utamanya sudah tentu mercu ikonik Terengganu iaitu Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Menyerupai seni bina The Tower Bridge London menjadikan jambatan ini sering menjadi tumpuan pelancong.
Untuk pemburu makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor pula, Kampung Losong dan Kampung Bukit Tok Beng adalah antara pilihan popular.
Taman Tamadun Islam yang terletak berhampiran Masjid Kristal adalah destinasi pelancong yang menjanjikan medium ilmu menarik.
Bayangkan di sini terdapat 21 replika bangunan tamadun Islam antaranya Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi.
- Bandar Lipis, Pahang

Dikenali sebagai ibu negeri Pahang bermula tahun 1898 sebelum ditukarkan ke Kuantan pada tahun 1955, Lipis berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dengan industri perlombongan bijih dan emas.
Antara destinasi yang boleh dilawati di Lipis adalah Gua Bama, Taman Tasik Burung Mandi, Hutan Simpan Bukit Taching, Taman Negara Sungai Relau, Melapoh, Zoo Lipis, Masjid Lama 1888, Rumah Rehat Bekas Residen Inggeris dan banyak lagi.
Marang janji keindahan pantai
5. Bandar Marang, Terengganu

Kejernihan air lautnya menjadikan Marang sebagai destinasi pelancongan yang cukup terkenal.
Pantai Pulau Kekabu, Pulau Kapas, Pulau Gemia, Pantai Peranginan Kelulut dan Benteng Marang menjanjikan keindahan pantai, air laut dan hidupan marin yang menarik lagi memukau.
Begitu juga Kampung Rhu Rendang dan Kampung Rusila boleh dilawati jika sukakan kraf tangan rotan.
Antara destinasi lain seperti Pelabuhan Nelayan Seberang Marang, Marang Waterfront dan Taman Rekreasi Pulau Kerengga.
- Bandar Mersing, Johor

Ibarat syurga bagi peminat snorkeling dan menyelam skuba. Mersing kaya dengan pulau-pulau indah seperti Pulau Rawa, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Dayang dan Pulau Tengah.
Bukan sahaja itu, untuk pencinta alam pula boleh meneroka Taman Negara Endau-Rompin, Hutan Lipur Gunung Arong dan Hutan Lipur Gunung Berlumut.
Bagi pencinta sejarah, Muzium Mersing juga menyimpan pameran barangan antik dan bersejarah seperti pakaian tentera Jepun, peralatan perang, pedang samurai dan banyak lagi.
- Bandar Permaisuri, Terengganu

Ibu daerah Setiu ini merupakan destinasi ‘hiddem gem’ yang tidak kurang kaya dengan keindahan pantai, budaya serta tarikan alam semula jadinya.
Terrapuri Heritage Village misalnya menawarkan pengalaman dengan arsitektur tradisional Melayu dan rumah-rumah bersejarah.
Setiu Wetlands pula merupakan tempat ideal untuk aktiviti ekotaurism dan pencinta burung.
Digelar Little New Zealand
- Bandar Ranau, Sabah

Digelar Little New Zealand of Sabah, Desa Cattle Dairy Farm adalah tarikan utama di Ranau, Sabah, dengan baka lembu Holstein Friesian dari Jerman dan Belanda.
Selain itu, Ranau juga kaya dengan destinasi pelancongan menarik seperti Bukit Sosodikan, Poring Hot Spring, Kundasang War Memorial, Arnab Village Ranau, Sabah Garden Tea dan Adenna Refflesia Garden.
9. Bandar Raub, Pahang

Menjadi salah satu bandar tertua di Pahang, Raub terkenal dengan sejarahnya sebagai pusat perlombongan emas.
Jika musim durian, Raub popular dengan keenakan durian seperti Musang King.
Raub Durian Orchard bukan sekadar memiliki lebih daripada 400 pokok durian pelbagai jenis, bahkan mempunyai pokok buah-buahan lain seperti manggis, pulasan dan rambutan.
10. Bandar Simpang Renggam, Johor

Jika Raub terkenal dengan durian, Simpang Renggam pula terkenal dengan nanas. Ladang Nanas Peninsular merupakan salah satu kebun nanas terbesar di Malaysia tidak kurang dengan daya tarikannya.
Untuk yang gemarkan fotografi, Tiger Of Renggam merupakan antara projek mural pada dinding bangunan lama berusia 96 tahun yang boleh dikunjungi.
Mural ini menerima penganugerahan di peringkat antarabangsa iaitu menerima ‘Green Apple Awards for Beautiful Buildings 2019”.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

