BOH ‘Kembali’ Ke Akar Umbi, Imbau Nostalgia 1890 Di Bangunan Sultan Abdul Samad

Dari Penulis

SIAPA sangka, di sebalik keharuman aroma secawan teh BOH yang sering menjadi peneman pagi kita, tersimpul satu naratif sejarah yang cukup kental dan berkait rapat dengan nadi pembangunan ibu kota.

Baru-baru ini, jenama teh kegemaran ramai, BOH, telah diberi penghormatan untuk menyertai inisiatif Dana Warisan Khazanah Nasional yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad. 

Pemilihan lokasi ini bukan sekadar gimik pameran, tetapi ia merupakan satu ‘pertemuan semula’ yang sangat nostalgik bagi keluarga pengasasnya.

Kehadiran BOH di bangunan yang menjadi mercu tanda ikonik dengan seni bina Moorish itu sebenarnya membawa kita kembali ke tahun 1890. 

Sejarah mencatatkan bahawa John Russell, atau lebih dikenali sebagai ‘Jack’, telah tiba di Tanah Melayu dan berkhidmat sebagai Pencetak Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran British ketika itu.

Apa yang menarik, pejabat tempat Jack bertugas pada waktu itu terletak tepat dalam Pejabat Kerajaan yang kini kita kenali sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad. 

Legasi ini kemudiannya diteruskan oleh anaknya, J.A. Russell, yang mengasaskan BOH Plantations pada 1929, sekaligus membuka ladang teh tanah tinggi pertama di Cameron Highlands.

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada projek Warisan KL ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ia bertujuan memberi nafas baharu kepada aset warisan negara agar kekal lestari dan boleh dimanfaatkan oleh generasi masa kini.

Pengerusi, Caroline Russell, ketika ditemui sempat berkongsi rasa bangga dan terharu dengan penglibatan jenama itu dalam projek pemerkasaan semula bangunan bersejarah tersebut.

“Bagi pihak BOH, penyertaan dalam inisiatif Warisan KL ini mempunyai nilai sentimental yang sangat mendalam.

“Ia bukan sekadar satu ruang untuk kami mempamerkan produk, tetapi lebih kepada meraikan naratif besar pembangunan Malaysia yang telah dilakari bersama sejak berdekad lamanya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sejarah tidak seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang kaku.

“Perjalanan kami bermula di sini pada 1890, di mana bangunan hebat ini menjadi simbol kemajuan negara. 

“Kami mahu berkongsi bahawa warisan ini adalah khazanah yang hidup. Ia bukan hanya terpahat pada dinding bangunan, tetapi mengalir dalam nilai, idea, dan ritual harian kita, sama seperti semangat perpaduan yang kita rasai setiap kali berkongsi secawan teh,” tambahnya lagi.

Buat pembaca yang ingin merasai sendiri aura sejarah ini, BOH membawakan sebuah pameran yang telah dikurasi dengan teliti. 

Pengunjung berpeluang menelusuri perjalanan jenama ini dari zaman Jack Russell sehinggalah menjadi gergasi industri teh hari ini.

Selain dapat menambah ilmu di dada, anda juga boleh membawa pulang koleksi teh ikonik BOH yang tersedia di ruang jualan khas. 

Caroline berharap kisah kegigihan keluarga Russell ini mampu menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia.

“Kami mahu kisah ini menjadi pembakar semangat buat semua. 

“Marilah kita menghargai masa lalu dengan penuh rasa hormat sambil melangkah dengan penuh keyakinan untuk membina masa depan yang lebih mampan,” katanya menutup bicara.

Menjelang sambutan satu abad kecemerlangan BOH tidak lama lagi, komitmen mereka terhadap warisan dan komuniti jelas membuktikan bahawa ia bukan sekadar teh, tetapi sebahagian daripada identiti Malaysia.

INFO PENGUNJUNG:

  • Lokasi: Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
  • Akses: Galeri BOH dibuka untuk orang awam (Masuk adalah PERCUMA).
  • Waktu Operasi: 9 Pagi – 6 Petang (Setiap Hari).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This