Badan berbau ikan – Gangguan metabolik yang tiada penawar mutlak

Nurul Huda Zulkifli
Nurul Huda Zulkifli
Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi. Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

Dari Penulis

PERNAHKAH anda berdepan dengan seseorang yang punyai masalah bau badan? Bagaimana persepsi anda ketika itu? Isu ini memang cukup sensitif kerana ia boleh memberi impak pada psikologi seseorang.

Mungkin ada yang menganggap individu yang mempunyai masalah bau badan ini berpunca daripada ‘kegagalannya’ dalam menjaga kebersihan diri.

Namun, tahukah anda bahawa tidak semua individu yang mempunyai masalah badan berbau ini tidak pandai menjaga kebersihan.

Ia dikaitkan dengan gangguan metabolik yang jarang berlaku dikenali sebagai trimethylaminuria (TMAU). Gangguan ini menyebabkan badan mengeluarkan bau hamis seperti ikan busuk.

Gambar hiasan.

Trimethylaminuria yang juga dikenali sebagai ‘fish odor syndrome’ bukanlah penyakit yang baru. Ia mula dikesan secara klinikal pada tahun 1970, menerusi jurnal kesihatan oleh Humbert et al, terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Penemuan pada kanak-kanak tersebut menunjukkan bau ikan pada kulit dan urin. Dua tahun kemudian, Higgins et al, mendapati kekurangan trimethylamine N-oxide (TMAO) melalui prosedur biopsi hati pada pesakit yang sama.

Kekurangan enzim penting untuk metabolisme trimethylamine dalam badan inilah, telah mewujudkan sindrom trimethylaminuria ini.

Punca utama

  1. Mutasi genetik (primary trimethylaminuria)

Trimethylaminuria (TMAU) biasanya berpunca daripada mutasi pada gen FMO3, yang mengawal enzim flavincontaining monooxygenase 3 (FMO3) dalam hati. Enzim ini bertanggungjawab untuk mengoksida trimethylamine (TMA) daripada makanan seperti telur, ikan dan kacang menjadi bentuk yang tidak berbau iaitu TMAO.

Apabila mutasi gen ini tidak berfungsi dengan normal, TMA yang terkumpul dalam badan dikeluarkan melalui peluh, nafas dan air kencing, akan menghasilkan bau busuk seakan ikan.

Kondisi ini merupakan bawaan autosomal recessive, bermakna kedua-dua ibu bapa perlu mewariskan gen yang terjejas agar simptom muncul. Ia biasanya muncul sejak bayi atau kanak-kanak.

  1. Faktor metabolik atau sekunder (secondary trimethylaminuria)

Selain mutasi genetik, TMAU boleh berlaku akibat faktor lain yang mengganggu metabolisme TMA.

Antaranya gangguan hati atau buah pinggang yang mengurangkan keupayaan badan menukar TMA kepada TMAO, yang kebiasaannya muncul ketika dewasa.

Diet tinggi TMA atau prekursor TMA, termasuk telur, makanan laut, daging dan kacang soya juga boleh meningkatkan jumlah TMA dalam badan, terutamanya jika fungsi FMO3 terbatas.

Begitu juga jika berlaku ketidakseimbangan bakteria dalam usus boleh menghasilkan lebihan TMA dalam makanan tertentu sehingga mengingkatkan risiko bau.

  1. Faktor penyumbang lain

Wanita yang mengalami perubahan hormon kadangkala lebih terdedah kepada gejala lebih teruk kerana hormon mengganggu fungsi enzim selain faktor genetik.

Gejala ini akan lebih memburuk terutamanya sebelum atau ketika haid, selepas mengambil pil perancang atau ketika menapaus.

Begitu juga dengan faktor penuaan atau gejala kesihatan lain yang menjejaskan metabolisme enzim sehingga menyebabkan gejala ini lebih buruk.

Tiada ubat, kawal gejala

TMAU hanya boleh didiagnos oleh doktor menerusi ujian air kencing, sama ada seseorang itu mempunyai tahap TMA yang tinggi atau tidak.

Biarpun tiada ubat atau rawatan khusus untuk menyembuhkan, tetapi gejalanya dapat dikawal menerusi beberapa langkah bagi mengawal bau badan.

Antaranya dengan menjaga diet iaitu elakkan makanan tinggi TMA seperti makanan laut atau kerang, telur, daging merah, organ dalaman, kekacang, produk soya dan suplemen yang mengandungi lesitin.

Pengambilan antibiotik atau probiotik juga boleh diambil bagi mengurangkan bakteria penghasil TMA dalam usus.

Untuk penjagaan diri pula, pilih sabun pH rendah (5.5 – 6.5) bagi mengurangkan bau pada kulit.

Sokongan psikologi

Sokongan psikologi penting untuk mereka yang berdepan dengan gejala TMAU.

Sejak isu TMAU kembali tular melibatkan seorang pemandu grab baru-baru ini, kefahaman mengenai gejala ini semakin meluas.

Bagi mereka yang berdepan dengan gejala ini pasti boleh menyebabkan kesan psikososial serius seperti kemurungan, kebimbangan dan pengasingan sosial.

Justeru, jangan mudah menghukum jika berdepan dengan individu yang bergejala. Sokongan psikologi amat penting agar mereka tidak terasa terasing.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Patutlah Sentiasa Berseri! Rahsia ‘DNA Ikan Salmon’ Scha Alyahya Akhirnya Terbongkar

SIAPA sahaja yang tidak terpesona melihat kejelitaan rupa paras dan sosok tubuh pelakon serta ikon fesyen tersohor, Scha Alyahya?  Walaupun...

More Articles Like This