TINDAKAN Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut Aminuddin, ia juga tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Saya ingin memaklumkan bahawa fungsi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan berperanan sebagai badan penasihat atas perkara-perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal berkaitan pemilihan dan pelucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS.
“Ia termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14 (3), UUTKNS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam hubungan itu, Aminuddin menegaskan, pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
Selanjutnya, kata beliau, Sidang Khas DKU pada 17 April lalu telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS di atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong.
“Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan, juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol Ke-14, Datuk Mohammad Jan bin Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Menurut kenyataan rasmi pada akhir bulan lalu, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan di Telaga Undang Sungei Ujong pada 1 April 2025.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa semua kesalahan berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

