SEORANG lelaki warga tempatan berusia 71 tahun ditangkap selepas menembak tiga individu lain sehingga mati di Kota Tinggi, Johor, petang tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 petang tadi.
Katanya, insiden tembakan itu melibatkan mangsa dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berusia dalam lingkungan 37 hingga 63 tahun.
Menurut Ab Rahaman, ketiga-tiga mangsa dipercayai telah ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun dah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bertindak di atas maklumat, pada jam lebih kurang 2 petang tadi, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian D9 Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun di kawasan lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian.
“Pihak polis turut membuat rampasan ke atas selaras senjata api jenis shotgun yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kes ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mempunyai lesen senjata api yang sah.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Ab Rahaman, setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan pihak polis.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian yang berlaku tidak mempunyai sebarang isu melibatkan elemen kongsi gelap dan unsur-unsur keganasan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada 20 April,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Katanya, polis turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis yang berhampiran dan talian hotline Polis Johor di nombor 019-2792095 atau talian bilik gerakan IPK Johor di nombor 07-2212999.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

