TINDAKAN bekas Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong adalah tidak sah.
Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri berkata, ini kerana Mubarak sudah tiada kuasa dari segi adat dan perlembagaan.
“Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-Anak Waris Klana Hulu juga tidak pernah memberi mandat kepada beliau berbuat demikian.
“Tindakan Mubarak itu penderhakaan terhadap DYMM Tuanku Muhriz dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Sarifah Norzaidah berkata, Mubarak sudah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra sejak 13 Mei 2025 dan sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu menasihatkan untuk menerima pemberhentiannya.
Sebelum itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Harun berkata tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima dan diiktiraf kerajaan negeri.
Amirudin berkata, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Media juga melaporkan, Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Menurut kenyataan rasmi pada akhir bulan lalu, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan di Telaga Undang Sungei Ujong pada 1 April 2025.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa semua kesalahan berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

