TIGA dekad dalam industri muzik bukan sekadar deretan angka, sebaliknya ia adalah sebuah perjalanan yang ditempa dengan keringat, air mata, dan evolusi seni yang luar biasa.
Bagi kumpulan rock ikonik Indonesia, Ungu, kelangsungan selama 30 tahun itu bakal diraikan dalam satu malam penuh magis menerusi konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur.
Diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media di Warung Sekawan, Putrajaya, konsert ini dijadualkan berlangsung pada 5 September depan di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Sejak ditubuhkan pada Julai 1996, barisan anggota asal yang terdiri daripada Pasha (vokal), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram) telah membina legasi yang merentasi generasi.
Konsert kali ini dirangka sebagai sebuah dokumentasi hidup yang merakam transisi Ungu daripada pemuzik jalanan sehingga bergelar legenda serantau.
Pengarah Konsert daripada COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy, menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran ini adalah untuk mengabadikan hubungan akrab antara Ungu dan peminat setia mereka di Malaysia.

“Konsert ini adalah keraian ulang tahun ke-30 Ungu khusus buat peminat di sini.
“Dalam tempoh dua jam, mereka akan mempersembahkan himpunan lagu terbaik yang pernah dihasilkan.
“Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu dari titik mula sehingga ke tahap sekarang,” katanya.
Bagi menterjemahkan sejarah 30 tahun ke atas pentas, persembahan akan dibahagikan kepada tiga segmen utama yang membawa naratif berbeza.
Segmen The Birth akan mengimbau memori awal kemunculan, diikuti The Peak yang mempamerkan era kegemilangan mereka dan diakhiri dengan The Legacy sebagai simbolik kekuatan dan kesinambungan band ini.
Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, KS Tan, menekankan bahawa kekuatan utama Ungu yang perlu dicontohi adalah nilai persaudaraan yang utuh.
“Untuk bertahan selama tiga dekad, ia bukan hanya tentang kualiti muzik semata-mata.
“Ia menuntut ketahanan mental yang tinggi, keupayaan bangkit daripada jatuh bangun, serta nilai ‘brotherhood’ yang dibina sejak hari pertama.
“Konsert ini adalah refleksi kepada keseluruhan jati diri mereka sebagai sebuah kumpulan,” ulasnya.
Menambah keterujaan, malam itu nanti akan turut diserikan dengan kehadiran lima artis jemputan istimewa yang dipilih sendiri oleh anggota Ungu.
Identiti barisan artis ini akan didedahkan secara berperingkat sebagai elemen kejutan buat peminat.
Pihak penganjur menawarkan tujuh kategori tiket termasuk pakej eksklusif Meet & Greet yang disertakan dengan barangan rasmi edisi terhad seperti kemeja-T, lanyard, dan beg tote.
Jualan tiket bermula pada 27 April (hari ini) menerusi tawaran Early Bird sebelum jualan umum dibuka.

Sebagai penutup, Pasha dan rakan-rakan menyuarakan keterujaan mereka untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur dengan satu ungkapan ringkas yang menggambarkan semangat mereka: “Keren banget!”

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

