PENASIHAT DAP, Lim Guan Eng melihat UMNO dan Pas, masing-masing di dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti ekstremis berhubung isu Rain Rave Water Festival.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, tindakan pihak berkenaan yang menentang festival pelancongan itu adalah tidak wajar memandangkan acara berkenaan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya.
Katanya, festival berkenaan berjaya menarik kehadiran kira-kira 180,000 pengunjung serta menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan sektor pelancongan.
“Jumlah tersebut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil di samping meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan mesra pengunjung.
“Kejayaan penganjuran acara ini juga sebagai bukti ketegasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu dalam melaksanakan program sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, King Sing juga wajar diberi kredit atas pencapaian sektor pelancongan negara yang dilaporkan mencecah RM332 bilion dengan kehadiran 42 juta pelancong pada 2025.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sikap parti-parti berkenaan yang menurutnya gagal mengiktiraf kejayaan yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
Guan Eng menyifatkan tindakan mengkritik acara tersebut sebagai cubaan tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap UMNO dan BN yang disifatkan mengambil pendirian selari dengan pembangkang walaupun merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan ketika ini.
Katanya, pendekatan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kedua-dua parti itu sebagai rakan dalam kerajaan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

