Tiada unsur komersial perjanjian DAK ke Zoo Tennoji – MPT

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TIADA sebarang unsur komersial melibatkan urusan jual beli atau apa-apa bayaran antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dengan Zoo Tennoji di Osaka, Jepun berhubung kerjasama konservasi antarabangsa tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan menegaskan, perjanjian antara ZTNS dengan Zoo Tennoji itu adalah perjanjian antara dua buah zoo.

Menurut Mohamed Akmal, penggunaan terma perniagaan ke perniagaan (B2B) juga adalah tidak bertepatan dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai itu.

Pada masa sama, kata beliau, program kerjasama antarabangsa antara ZTNS dan Zoo Tennoji itu juga selaras dengan Garis Panduan Standard Zoo Malaysia (Pengendalian Zoo) yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta telah melalui proses kelulusan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)..

“MPT memahami bahawa reaksi masyarakat terhadap isu ini lahir daripada rasa kasih dan keprihatinan terhadap kebajikan haiwan khususnya Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, MPT ingin memberikan penjelasan berhubung beberapa tuduhan yang tular di media sosial termasuk dakwaan program kerjasa ini melibatkan unsur komersial atau bayaran tertentu kepada pihak ZTNS dan MPT serta tidak mematuhi peraturan dan akta yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Akmal menegaskan, pihaknya bersama-sama ZTNS dan abatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mengadakan lawatan ke Osaka pada 6 hingga 10 Oktober 2022 iaitu sebelum penghantaran DAK ke Zoo Tennoji.

Beliau berkata, lawatan itu bagi menilai kesesuaian kemudahan sedia ada dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh Zoo Tennoji untuk program konservasi berkenaan.

Katanya, penyediaan dokumentasi lengkap seperti mengemukakan surat permohonan dari ZTNS untuk sumbangan gajah, surat permohonan permit khas menyimpan gajah, surat memohon maklumat untuk memberikan maklum balas kepada Kementerian Industri, Perdagangan dan Ekonomi Jepun telah pun menerima kelulusan dan maklum balas daripada Perhilitan terlebih dahulu.

Selain itu, kata beliau, ZTNS turut mengemukakan surat permohonan mengeksport kepada Perhilitan dan seterusnya diluluskan oleh NRES sebelum gajah-gajah itu dihantar ke Jepun.

“MPT juga ingin menegaskan bahawa aspek kebajikan dan kesejahteraan haiwan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program ini.

“ZTNS akan terus berhubung dengan Zoo Tennoji serta agensi berkaitan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini dan memastikan standard penjagaan yang sewajarnya terus dipatuhi.

“Sebagai komitmen terhadap ketelusan dan integriti, MPT sentiasa mengalu-alukan dan bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat keperluan untuk menjalankan semakan atau siasatan lanjut terhadap keseluruhan program kerjasama ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Seketeriat Bahana Kesetiaan Negara (SBKB), Datuk S Kalai menegaskan, tiga gajah tersebut dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, dokumen kesihatan, sejarah dan asal-usul ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan haiwan itu tinggal di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil, bukan seperti didakwa berasal dari Zoo Taiping, Perak.

Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ribut rosakkan beberapa rumah di Taman Mewah, Shafwan ambil inisiatif segera hulur bantuan

BEBERAPA rumah di Jalan Selendang 13, Taman Mewah, Bukit Permai, mengalami kerosakan selepas kawasan itu dilanda ribut. Calon Pakatan Harapan...

More Articles Like This