Kenyataan PM tak wajar, beri gambaran titah Tengku Mahkota Pahang tak ambil kira realiti ekonomi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah disifatkan kurang tepat dan tidak wajar.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri itu.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang menegaskan, kenyataan Anwar seolah-olah menggambarkan bahawa titah Tengku Hassanal tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro.

Menurut beliau, persepsi sebegitu bukan sahaja tidak tepat, malah tidak mencerminkan kepekaan seorang pemimpin tertinggi negara terhadap institusi diraja dan keadaan sebenar di peringkat negeri.

“Perlu difahami bahawa perkara yang dibangkitkan dalam titah tersebut bukan sekadar isu ekonomi tetapi berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat dan kelestarian negeri.

“Hakikatnya, banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius, menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek.

“Keadaan ini meningkatkan risiko limpahan air dan banjir khususnya ketika musim hujan.

“Justeru, kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, usaha pengorekan dan pendalaman sungai itu memerlukan kos yang tinggi.

Dalam konteks ini, katanya, cadangan untuk menjual pasir yang dikorek bukan sahaja langkah praktikal bagi menampung kos malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan.

Malangnya, beliau berkata, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir itu telah menjejaskan usaha berkenaan.

Jelasnya, tanpa saluran pasaran yang mencukupi, lambakan pasir akan terus berlaku sekali gus memburukkan lagi keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan.

“Oleh itu, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh bukan semata-mata dari sudut dasar ekonomi. Ia melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan keperluan mengurus sumber secara bijaksana.

“Walaupun pautan kenyataan tersebut telah diturunkan, hakikatnya kenyataan itu tetap memberi gambaran yang kurang tepat.

“Sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan seharusnya lebih cermat, berasaskan fakta dan mengambil kira sensitiviti terhadap institusi diraja,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang untuk mengurus sumbernya secara lebih efektif, selaras dengan kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Beliau menegaskan, kepimpinan yang baik bukan sekadar mempertahankan dasar tetapi bersedia mendengar, memahami dan menyesuaikan pendekatan berdasarkan realiti di lapangan.

“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir.

“Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibatnya,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This