PENGUNDI dan penduduk di Parlimen Setiawangsa akan terus diberi perhatian serta sokongan walaupun Ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mengosongkan kerusi tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Pada masa sama, Hannah memaklumkan beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud untuk membantu memperkukuh peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa.
Menurut beliau, perkara itu dalam menangani isu-isu tempatan serta memastikan aduan dan keperluan penduduk terus diberikan perhatian sewajarnya.
“Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini.
“Saya juga akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penduduk Setiawangsa boleh terus hadir, menghubungi atau mengemukakan aduan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di D’Wangsa, 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Hannah turut mengucapkan terima kasih atas khidmat Nik Nazmi kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Semalam, Nik Nazmi dan Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang masing-masing iaitu Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa hari ini, 18 Mei.
Bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu juga mengumumkan keluar daripada parti berkenaan mulai esok, 19 Mei.
Kedua-dua pemimpin itu turut mengumumkan menyertai Parti Bersama Malaysia.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

