AMALAN bekerjasama dan saling menghormati antara parti dalam Kerajaan MADANI menjadi faktor penting kepada kestabilan pentadbiran serta keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Hannah yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, walaupun UMNO hanya mempunyai satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur menerusi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semangat mentadbir bersama sentiasa menjadi keutamaan dalam kerajaan.
Menurutnya, semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur berada dalam satu kumpulan komunikasi yang sama tanpa sebarang pengasingan berdasarkan parti politik.
“Johari Abdul Ghani merupakan rakan Kabinet saya. Walaupun beliau satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di Kuala Lumpur, kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain.
“Tiada pengasingan. Sepanjang mengurus hal ehwal Wilayah Persekutuan, saya banyak mendapatkan pandangan beliau dalam pelbagai perkara termasuk pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampong Bharu dan pelantikan ahli lembaga di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Hannah berkata, pengalaman dan pandangan yang dikongsi Johari banyak membantu menghasilkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan tidak terletak pada dominasi mana-mana parti, sebaliknya pada kesediaan untuk mendengar serta menghormati pandangan rakan dalam gabungan pentadbiran.
“DAP tidak menguasai tetapi turut mendengar pandangan rakan-rakan dalam kerajaan. Itulah setiakawan dan itulah hormat,” katanya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata beliau tidak pernah percaya bahawa kekuatan seseorang pemimpin diukur berdasarkan individu atau kelompok yang diketepikan.
Sebaliknya, katanya, kepimpinan yang berkesan diukur melalui keupayaan untuk bekerjasama dengan pihak yang mempunyai pandangan berbeza demi kepentingan rakyat.
“Pada akhirnya, rakyat tidak menilai sejauh mana kita berbeza. Rakyat menilai sama ada kita mampu bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah mereka dan semuanya bermula dengan kesediaan untuk duduk semeja,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai penegasan terhadap pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan kerjasama rentas parti dalam usaha memastikan pentadbiran negara berjalan secara inklusif dan berfokus kepada kepentingan rakyat. – UTUSANTV

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

