SUATU ketika dulu saya pernah membenci kucing. Walau gebu dan secomel mana pun, saya tak endah. Apa lagi yang kurus comot lagi berkurap. Huh, lagi saya benci.
Pada saya, tiada faedahnya membela haiwan ini. Lagi baik menternak ayam itik. Boleh juga daging dan telurnya dijadikan lauk.
Saya pun tidak tahu mengapa saya membenci kucing. Tetapi Tuhan Maha Kuasa. Ia boleh merubah sesuatu sekelip mata. Hatta persepsi saya pada haiwan ini.
Saya ingat lagi, suatu petang pulang dari kerja, saya berasa amat letih. Melayan kesesakan lalu lintas, ditambah hujan lebat. Sebelum masuk ke dalam rumah, saya terlihat seekor kucing kelabu berteduh di sudut luar rumah.
Kucing itu kurus. Bagai tidak cukup makan. Entah dari mana datangnya, saya tidak pasti. Sebelum ini saya tidak pernah melihatnya. Ia memandang saya, terkebil-kebil seperti memohon simpati. Mana tahu saya akan mencampakkan sedikit makanan.
Ah, biarlah. Itu bukan urusan saya. Saya terus masuk ke dalam rumah, berehat sambil menonton. Di luar hujan masih belum reda. Sesekali terdengar suara kucing tadi mengiau, sayu.
Esoknya masih seperti semalam. Saya melihat lagi kucing kurus itu di tempat sama. Saya agak hairan. Mengapa ia tidak pergi ke rumah orang lain? Banyak rumah jiran di situ, kenapa berlindung di rumah saya pula? Lantaklah, malas saya hendak memikir.
Beberapa ketika selepas itu, saya tidak lagi melihat kelibat kucing itu. Lama juga. Barangkali ia telah pergi ke tempat lain. Ke rumah orang yang mahu memberi simpati.
Suatu hari, saya pulang dari berjalan. Saya tidak mengesyaki apa-apa. Namun bila menjengah ke dapur, saya terkejut. Sisa makanan habis bersepah di sana sini. Saya fikir apakah ini angkara monyet-monyet liar? Mungkin tidak. Kalau angkara monyet, tentu rumah saya sudah seperti kapal karam.
Isteri membebel sambil membersihkan kotoran. Saya suruh isteri tutupkan pintu tingkap rapat atau letak pemberat agar kejadian sama tidak berulang.
Namun, telahan saya tersasar. Kejadian itu berulang-ulang terjadi. Serik rasanya. Saya menggerutu sendirian. Tidak mahu ada bebelan, saya membersihkan sendiri dapur yang berselerak. Angkara siapalah agaknya ini…
Tikus mula mengganas
Hari itu saya nekad mengambil cuti. Saya ingin tahu siapa tetamu tidak diundang yang sering menceroboh masuk ke dapur. Saya mengendap. Kayu panjang erat di tangan. Kali ini kalau saya dapat, akan saya ligan habis-habisan.
Tidak lama kemudian, terdengar bunyi riuh rendah di dapur. Bila saya jengah, si kucing kurus itu rupanya. Habis saya hambat. Lintang pukang ia lari keluar rumah. Mulut saya siap bersumpah seranah. Ceh, bagaimana ia boleh masuk ke dalam rumah? Tentu ada mana-mana lubang yang saya terlepas pandang.
Sejak peristiwa itu, dapur saya tidak lagi ada yang menyelongkar. Lega hati saya. Mungkin kucing itu telah lari jauh. Barulah keadaan tenang kembali.
Tetapi langit tidak selalu cerah. Ketenangan hanya sementara. Bala lain pula datang. Rumah saya mula jadi tempat tikus berkampung. Kian hari kian banyak bilangannya. Habis makanan digeledah, bersepah tidak keruan. Najis dan kencingnya pula merata-rata.
Perangkap serta racun tikus memang tersedia tetapi berapa ekor sangat yang mengena. Isteri tidak habis-habis membebel. Bingit dan panas rasa telinga
Biasanya kalau saya ada masalah, saya akan termenung di warung mamak di pinggir sungai Klang, Selangor. Memerah otak mencari idea. Mamak yang telah biasa dengan saya bertanya, “Dei tambi apa menung. Ada problem ka?”
“Inilah mamak, saya rumah tikus ada banyak la…” jawab saya.
“Woo… itu ka. Senang la, kucing bela la. Nanti itu tikus suma lari juga,” begitu pula jawab si mamak.
Hmmm… bela kucing?

Suatu petang, saya termenung di jendela menghadap arah belakang rumah yang ditumbuhi semak samun. Tiba-tiba saya terkejut. Saya terlihat kucing kurus yang pernah saya ligan dulu. Jalannya terdengkot-dengkot. Mulutnya menggonggong cebisan tulang ayam menghala ke dalam semak. Saya sangka ia telah pergi jauh. Rupa-rupanya…
Dua tiga hari kemudian, saya sengaja menjengah lagi ke arah belakang rumah. Terus saja anak mata saya membulat melihat kelibat kucing itu melangkah longlai.
Namun kali ini agak berlainan. Belakang tubuh kucing itu terdapat kesan luka. Kulitnya menggelupas, menampakkan dagingnya yang memerah. Ia kesan seperti disiram air atau minyak panas. Ia berjalan perlahan sambil mengheret sebelah kaki belakangnya. Mungkin kakinya itu juga cedera. Pada mulut kucing itu, dikejap rapi tulang ikan. Saya mengikut kucing itu dari jauh.
Rupa-rupanya, tulang ikan itu untuk diberi pada anak-anaknya. Serta-merta hati saya terasa sedih. Ah, kejam sungguh manusia yang sanggup berbuat begitu. Saya yang membenci kucing pun tidak tergamak menyeksa begitu.
Walau dalam keadaan dirinya yang lemah bagai hampir mati, ia tetap teringatkan anak-anaknya. Begitu luhurnya sifat keibuan pada kucing itu. Andai ia tahu berbicara, mungkin ia akan mengatakan, “Tuhan, panjangkanlah usiaku. Berilah aku kesempatan membesarkan anakku yang baru belajar melihat dunia…”
Kecederaan kucing kurus itu mungkin akibat menceroboh masuk rumah orang. Apa yang ia dapat tidak setimpal dengan risiko, bahkan mungkin maut. Tapi, ia tidak peduli. Demi kelangsungan hidup anak-anaknya. Sekadar firasat saya sendiri. Selepas itu, agak lama saya tidak nampak ibu kucing itu lagi.
Tangisan anak si ibu kurus
Suatu pagi, saya terdengar suara anak-anak kucing mengiau, memanjang. Pilu bunyinya. Mulanya saya malas hendak melihat. Tetapi hati bagai ditarik-tarik untuk ke kawasan semak di belakang rumah. Perlahan-lahan saya mengintip.
Saya terkedu bila menyaksikan apa di depan mata. Ibu kucing kurus yang tubuhnya dipenuhi luka itu sudah terbaring kaku. Tiga ekor anak-anaknya yang masih kecil setia menunggu. Seekor menggesel-gesel pada tubuh kaku si ibu, seperti mahu bermanja. Seekor lagi mengiau-ngiau tanpa henti bagai meminta ibu kurus itu bangun dan mencarikan makanan kerana perut sudah lapar. Yang seekor lagi tidak habis-habis menyondol perut si ibu kerana laparkan susu.
Beberapa ekor langau sudah mula menghurung tubuh kucing kurus itu. Semut-semut merah pula mula berjalaran memenuhi mulutnya yang terbuka, juga di tempat-tempat yang luka.

Saya jadi sebak. Mungkin si anak tidak tahu bahawa ibu tempat bergantung harap telah menjadi bangkai. Rasa kasihan terus menerjah. Saya terus berniat mahu mengambil anak-anak kucing itu. Langsung saya bawa pulang ke rumah.
Manakala bangkai ibu kucing itu saya tanam di tempat ia mati. Sambil menanam, saya berjanji akan membela anak-anaknya dengan sempurna. Kalau dulu saya berhutang pada ibu kucing kurus itu kerana membencinya. Kini saya akan bayar hutang tersebut dengan menjaga anak-anaknya pula.
Saya akan gaulkan ikan goreng bersama nasi untuk makanan mereka. Sayangnya, salah seekor yang berwarna kuning cerah tidak panjang nyawanya. Mungkin ia rindu si ibu yang tidak lagi menjilat tubuhnya.
Isteri kembali membebel. Kali ini fasal tahi kucing yang bersepah-sepah. Belonggok sana sini di penjuru rumah. Pernah sekali selonggok di atas katil kami. Mulutnya muncung panjang. Dua tiga hari tidak menegur saya.
Saya perlahan-lahan mengajar supaya kucing itu membuang najis di dalam bilik air. Lama-kelamaan ia faham. Hari demi hari cepat membesar. Bila melihatnya menjilat susu, sesekali saya sebak. Terkenangkan keletah si anak menyondol perut si ibu kerana kehausan.
Ada kalanya, kedua-duanya bergaduh sesama sendiri. Anak saya pula suka mengendong ke sana sini. Masa senggang saya galak melayan kerenahnya. Yang jantan sudah pandai mengendap tikus. Si betina rajin mengejar andai ada tikus tersesat di dapur.
Sejak ada di Gambluk dan si Comot (nama kedua-dua kucing saya), tikus mula berkurangan. Jika ada yang cuba tunjuk berani, hero saya ini siap bertindak. Sejak itu, tiada lagi ancaman tikus.
Kalau dulu saya fikir membela kucing tiada faedah, rupanya saya silap. Dulu benci, sekarang bertukar sayang. Betul jugalah cakap si mamak tepi sungai itu. Seandainya saya terlihat budak-budak menganiaya kucing, saya akan jegilkan mata. Tanda saya tidak bersetuju dengan cara mereka.
Jika ia mencuri makanan pun kerana ia lapar. Mengapa harus sampai dipukul. Ia juga ada hak untuk hidup seperti makhluk lainnya. Sekiranya makan di luar, andai ada kucing-kucing yang kelaparan, saya tidak lokek berkongsi lauk. Pasti akan saya beri.
Beberapa bulan berlalu. Si Comot mula membesar perutnya. Saya dapat rasakan ia mengandung. Kian lama kian mengeras dan memboyot-boyot. Hmm… kucing jantan manalah yang sudah ayat kucing betina saya ini.
Ini bermakna, tidak lama lagi akan bertambah keluarga kucing di rumah. Apalah pula tajuk bebelan isteri saya kelak. Dah nama pun membela kucing. Apa-apa hal saya kena bersedia awal. Biarkanlah isteri membebel panjang mana pun. Saya telah simpan kapas buat penyumbat telinga. Saya senyum sendiri…
**Coretan : Mohd. Shahdan Sarkan, Klang, Selangor.
_____________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen

