DI saat ramai selebriti berlumba-lumba mengejar algoritma dan mengumpul pengikut di pelbagai aplikasi media sosial, pelakon Nadya Nisaa sebaliknya memilih untuk mengambil pendekatan berbeza.
Menjelaskan mengenai ketiadaannya di aplikasi Threads, pelakon berusia 40 tahun iru menepis dakwaan kononnya dia memboikot platform tersebut kerana suasananya yang disifatkan sesetengah pihak sebagai sarat dengan unsur toksik.
Sebaliknya, kekangan masa menjadi punca utama dia enggan menambah senarai akaun digitalnya.
Dua Akaun Pun Jarang ‘Update’, Komitmen Masa Jadi Punca
Pemilik nama lengkap Nadiyatul Nisaa Kamaruddin itu mendedahkan sejak dahulu lagi, dia hanya setia dengan dua platform utama iaitu Instagram dan TikTok.
Malah, kedua-dua akaun tersebut juga diakui jarang dikemas kini dengan hantaran terbaharu.

“Ketiadaan saya di aplikasi Threads sama sekali bukan kerana saya menganggap ruang tersebut sebagai sebuah platform yang toksik.
“Malah, saya sendiri tidak begitu pasti tentang corak persekitaran semasa di sana, sama ada ia lebih ke arah positif mahupun negatif.
“Faktor utamanya hanyalah kekangan masa. Kalau diperhatikan, akaun Instagram dan TikTok saya pun amat jarang dikemas kini.
“Jadi, untuk memikul tanggungjawab menguruskan pelbagai akaun media sosial secara serentak adalah sesuatu yang menuntut komitmen masa yang terlalu besar buat saya ketika ini,” katanya kepada URTV.
Nadya ditemui media pada majlis pelancaran dan tayangan perdana siri Viu Original terbaharu berjudul Bidadari Tanpa Syurga di Banglo 289, Kuala Lumpur, semalam.
Trauma Anak Didukung Orang Asing, Nekad Hadkan Privasi Keluarga
Melanjutkan bicara mengenai pendiriannya yang agak pasif di dunia maya, Nadya menegaskan bahawa kesemua platform media sosial miliknya kini dikhususkan sepenuhnya untuk tujuan kerjaya sahaja, terutamanya bagi mempromosikan filem, drama, atau projek seni terbaharu.
Keputusan untuk mengehadkan perkongsian berunsur peribadi ini sebenarnya berakar umbi daripada satu insiden cemas yang berlaku pada awal pembabitannya dalam industri hiburan dahulu.
Kisah tersebut menjadi titik tolak mengapa dia memilih untuk mengasingkan empayar kerjaya dan ruang domestik.
“Sebenarnya ada satu kejadian di mana seorang individu secara melulu telah mendukung anak lelaki saya ketika kami berada di sebuah pasar raya.
“Ia berlaku dengan begitu pantas dan tiba-tiba sehingga saya sendiri terpaku dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana waktu itu saya sedang sibuk menolak troli barangan dapur.
“Walaupun individu tersebut sekadar berniat untuk beramah mesra, tetapi perbuatan menyentuh dan mendukung anak saya tanpa meminta izin terlebih dahulu adalah sesuatu yang agak mengejutkan dan membimbangkan,” kongsinya.
Insiden itu ternyata memberi pengajaran besar buat dirinya untuk lebih berwaspada dalam melindungi privasi anak-anak daripada pandangan umum.
“Mungkin disebabkan peristiwa itulah saya menjadi sangat jarang berkongsi tentang kehidupan harian, terutamanya yang melibatkan anak-anak.
“Tambahan pula, suami saya sendiri merupakan seorang yang sangat introvert. Jadi kami merasakan memang tiada sebarang keperluan atau kepentingan untuk memuat naik gambar keluarga secara terbuka di media sosial,” ujarnya lagi.
‘Followers’ Bukan Penentu Rezeki, Percaya Penerbit Nilai Kualiti Bakat
Menyentuh tentang trend industri hari ini yang sering mengukur nilai seseorang pelakon berdasarkan jumlah pengikut di media sosial, Nadya meluahkan rasa syukur kerana dia masih relevan dan terus menerima tawaran lakonan tanpa perlu ‘hanyut’ dalam dunia glamor digital.
Baginya, kualiti kerja dan naskhah yang dipersembahkan jauh lebih bermakna berbanding angka statistik di skrin telefon.
“Saya tidaklah seperti segelintir rakan artis lain yang setiap hari akan memuat naik kandungan kreatif berkaitan dengan perkembangan karier seni mereka.
“Boleh dikatakan, kekerapan perkongsian saya di media sosial pun adakalanya boleh dikira sebulan sekali sahaja.
“Malah, ramai kawan baik yang menyedari perkara ini sering menegur dan bergurau dengan mengatakan kalau hendak menunggu saya berkongsi gambar terbaharu di Instagram atau TikTok, mungkin kena tunggu lagi lapan bulan,” katanya sambil tertawa kecil.
Meskipun bersikap low-profile, Nadya tetap profesional dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai anak seni apabila membabitkan urusan promosi komersial.
“Apa pun, saya percaya semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing.
“Bagi saya, tidak semestinya seseorang pelakon itu perlu memiliki jumlah pengikut yang ramai untuk terus bertahan dalam industri ini.
“Namun, saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mempromosikan produk atau naskhah lakonan saya di media sosial. Saya akan sentiasa mengikut dan menghormati apa sahaja terma yang telah dinyatakan di dalam kontrak lakonan,” jelasnya dengan tegas.
Tampil Pertaruh Bakat Dalam Bidadari Tanpa Syurga Di Viu
Dalam perkembangan terbaharu, Nadya kembali mengubati rindu peminatnya apabila muncul sebagai salah seorang teraju utama dalam drama bersiri premium, Bidadari Tanpa Syurga.

Naskhah berimpak tinggi ini menampilkan jalan cerita yang padat dan penuh emosi, sekali gus membuktikan kedudukan Nadya sebagai pelakon yang meletakkan kualiti seni di tempat tertinggi.
Drama bersiri sebanyak 12 episod itu mendapat sentuhan pengarah terkenal, Jamal Khan. Selain menampilkan Nadya, Bidadari Tanpa Syurga turut membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Datuk Aaron Aziz, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, Idzham Ismail dan Shahronizam Noor Ismail.
Para peminat drama Melayu boleh menyaksikan naskhah hebat ini yang kini sudah mula ditayangkan secara rasmi di aplikasi penstriman popular, Viu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

