POPULARITI dan kredibiliti pelakon gred A tanah air nampaknya terus menjadi mangsa industri yang kemaruk mengaut keuntungan atas angin.
Terbaharu, aktor, Datuk Aaron Aziz mendedahkan namanya kini kerap dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai umpan atau modal untuk memperdaya pelabur luar yang berminat menyuntik dana ke dalam industri perfileman tempatan.
Lebih parah, pelakon filem KL Gangster itu mengakui impak penipuan bermodus operandi kotor ini bukan sahaja menjejaskan nama baiknya, malah hampir meranapkan ekosistem industri kreatif kerana merobek kepercayaan para pelabur luar.
Taktik Licik Ajak ‘Sesi Perkenalan’, Foto Bersama Dijadikan Bukti Palsu
Aaron mendedahkan, sindiket penipuan ini dikesan menggunakan taktik halus dengan mengatur pertemuan formal atau kasual kononnya bagi membincangkan projek mega, namun realitinya ia hanyalah sebuah jerat untuk mendapatkan kandungan visual bersama dirinya.
“Baru-baru ini, wujud satu kes yang agak keterlaluan, namun saya memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu terbabit.
“Rentetan insiden sebegini sebenarnya sudah berlaku beberapa kali. Modus operandi mereka adalah dengan mengajak saya bertemu kononnya atas urusan membincangkan sebuah naskhah berskala besar.
“Selesai sesi perbincangan, mereka akan mengajak saya bergambar bersama dan selepas itu, mereka terus menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan adalah apabila tiba-tiba ada pelabur yang datang bertemu saya dan memaklumkan dia sudah pun menyerahkan modal pelaburan kerana menyangka projek itu milik saya,” katanya kepada URTV.
Situasi tersebut nyata meletakkan bintang utama siri Viu Original, Bidadari Tanpa Syurga ini dalam keadaan serba salah, memandangkan namanya dijajakan tanpa sebarang hitam putih.
“Saya secara peribadi amat terkejut kerana langsung tidak mempunyai sebarang maklumat atau kaitan dengan urusan transaksi wang tersebut.
“Sehinggalah apabila individu berkenaan menunjukkan bukti kepada saya, barulah segala-galanya terbongkar. Rupa-rupanya, ada pihak yang sanggup menggunakan foto pertemuan awal kami untuk memanipulasi pemikiran pelabur, kononnya saya sudah pun memberikan lampu hijau dan komitmen penuh terhadap projek berkenaan.
“Padahal, pada hakikatnya, tiada sebarang persetujuan atau perjanjian rasmi yang pernah dimeterai antara kami,” tambahnya lagi ketika ditemui media di ibu negara, semalam.
Industri Kreatif Terima Tempias, Penerbit Serius Sukar Cari Dana
Mengulas lanjut mengenai isu sensitif tersebut, pelakon berkaliber ini menegaskan bahawa tindakan segelintir oportunis ini memberi implikasi yang sangat buruk kepada industri perfileman.
Apabila pelabur mula menyedari diri mereka ditipu oleh projek ‘hantu’ yang menggunakan nama artis besar, rantaian keyakinan itu akan putus secara total.
“Individu tidak bertanggungjawab ini secara jelas memperalatkan nama dan reputasi saya semata-mata sebagai instrumen untuk membina kepercayaan segera dalam kalangan pemegang modal.
“Dia akan meyakinkan pihak pelabur dengan mendakwa kononnya sudah berjaya memancing komitmen daripada barisan artis terkenal, sekali gus memberikan gambaran palsu bahawa projek tersebut sudah berada dalam fasa sedia untuk berjalan.
“Kesannya, apabila pelabur kerap kali menjadi mangsa kepada skim manipulasi seperti ini, lama-kelamaan mereka akan menutup terus pintu keyakinan untuk melabur dalam industri kreatif negara.
“Akhirnya, syarikat produksi yang benar-benar telus, jujur, dan mempunyai karya yang bermutu tinggi pula yang terpaksa menanggung kesukaran mencari dana kerana pasaran pelaburan sudah dicemari oleh rasa curiga,” ulas Aaron penuh kesal.
Kelabu Mata Demi Wang, Manusia Hari Ini Sudah Hilang Nilai Moral
Bagaikan tiada kesudahan, Aaron turut berkongsi satu lagi kes terbaharu yang berlaku sejurus sebelum dia menghadiri majlis pelancaran dramanya, di mana kakitangan pengurusannya terpaksa bertindak pantas bagi menyekat satu lagi cubaan menjual namanya ketika proses rundingan masih berada di peringkat awal.
Melihat kepada kerakusan sindiket, Aaron mengakui sukar untuk membanteras isu ini secara total memandangkan ada pihak yang sudah buta hati demi mengejar material.
“Mahu membendung perkara sebegini daripada terus berlaku sememangnya satu cabaran yang amat getir buat kami sebagai anak seni.
“Pada pemerhatian saya, landskap masyarakat hari ini sudah mempunyai segelintir individu yang langsung tidak lagi memikirkan tentang implikasi dosa mahupun pahala di atas setiap perbuatan mereka.
“Fokus utama mereka hanyalah bagaimana cara untuk menjana keuntungan peribadi dengan jalan mudah, tanpa mempedulikan nasib dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain.
“Disebabkan oleh ketamakan itu, kes-kes eksploitasi nama artis ini terus mencatatkan peningkatan dan amat sukar untuk kita kawal memandangkan taktik mereka sentiasa berubah-ubah demi mengumpan mangsa,” tegasnya.
Kebanjiran Syarikat Produksi Baharu Sukarkan Proses Tapisan Artis
Mengakhiri perbualan, Aaron tidak menolak kebanjiran syarikat produksi baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan ketika ini turut menyulitkan para pelakon untuk membuat penilaian awal sama ada entiti tersebut benar-benar profesional ataupun sekadar entiti ‘scammer’.
“Senario industri pada hari ini menyaksikan kemunculan terlalu banyak syarikat produksi yang baharu dalam pasaran.
“Kita tidak menafikan ada sebahagian daripada mereka yang bergerak secara sangat profesional serta komited untuk melahirkan karya seni yang bermutu tinggi.
“Bagaimanapun, tidak kurang juga ada kelompok yang kita sendiri berasa sangsi dan kabur akan latar belakang penubuhannya. Sebagai seorang penggiat seni, adalah menjadi lumrah harian untuk saya berinteraksi serta memenuhi pelbagai pelawaan pertemuan daripada pelanggan mahupun bakal rakan kongsi korporat.
“Itu adalah sebahagian daripada skop kerja rasmi saya. Namun begitu, sama ada seseorang itu benar-benar berniat jujur untuk bekerjasama atau sekadar mempunyai agenda tersembunyi untuk menipu, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk kita ramal dari pandangan pertama,” akhirinya optimis.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

