KECEKALAN pelakon berdedikasi, Shahronizam Noor, dalam melawan kanser tulang belikat sememangnya mengagumkan. Bagaimanapun, bintang veteran berusia 53 tahun itu mengakui kelangsungan kerjaya seninya mungkin akan sedikit terjejas berikutan fasa rawatan susulan yang bakal dilaluinya tidak lama lagi.
Bakal berdepan dengan siri rawatan yang panjang, suami kepada penyanyi dan pelakon Safura Yaacob ini mendedahkan, pihak hospital telah menyarankan agar dia menjalani rawatan kemoterapi dalam masa terdekat demi memastikan proses pemulihan berjalan dengan lebih berkesan.
Memperincikan jadual perubatannya, Shahronizam menjelaskan prosedur intensif tersebut memerlukan komitmen masa yang panjang, sekali gus membataskan ruang untuk aktif di lokasi penggambaran seperti biasa.
“Pakar onkologi ada mencadangkan agar saya menjalani rawatan kemoterapi yang melibatkan enam kitaran keseluruhannya. Untuk setiap kitaran, saya perlu dimasukkan ke wad hospital selama lima hari berturut-turut.
“Selepas itu, saya diberikan tempoh berehat selama tiga minggu sebelum beralih ke kitaran yang seterusnya.
“Secara keseluruhan, proses ini akan memakan masa sekitar enam bulan. Memandangkan jadual rawatan yang agak padat dan memerlukan masa rehat yang panjang, saya harus akur bahawa agak sukar untuk saya komited terhadap kerja-kerja lakonan seperti sedia kala buat masa ini,” katanya kepada URTV.
Shahronizam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaharunya, Bidadari Tanpa Syurga di Banglo 289, Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum memulakan fasa kemoterapi tersebut, pelakon yang terkenal dengan watak-watak berat itu dijadualkan untuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada 9 Julai depan.
Sesi berkenaan amat kritikal bagi membolehkan pakar perubatan menilai status terkini penyakitnya.
“Menerusi keputusan imbasan CT scan itu nanti, barulah pihak doktor dapat melihat secara jelas bagaimana perkembangan semasa atau tahap kanser yang saya alami.
“Selepas imbasan tersebut, saya dijadualkan untuk bertemu semula dengan pakar onkologi pada 22 Julai bagi membincangkan langkah rawatan seterusnya,” jelasnya.
Enggan berserah kepada takdir semata-mata, Shahronizam turut berkongsi dia mengambil pendekatan holistik dalam usaha mencari kesembuhan.
Selain mempercayai kepakaran perubatan moden di hospital, beliau juga mengamalkan ikhtiar sampingan berasaskan kaedah tradisional.
“Ikhtiar saya bukan sahaja bertumpu kepada kaedah rawatan moden di hospital, malah saya juga cuba mengimbangkannya dengan rawatan alternatif lain termasuklah mengambil air penawar sebagai usaha tradisional untuk kembali sihat,” ujarnya optimis.
Di sebalik ujian berat yang menimpa, Shahronizam memanjatkan kesyukuran kerana dikelilingi oleh insan-insan yang positif.
Sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, rakan-rakan seperjuangan, dan pihak pengurusan produksi menjadi kekuatan utama untuknya terus bangkit berjuang.
Dia yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 12 episod Bidadari Tanpa Syurga terbitan Global Station untuk platform Viu Original, memuji sikap profesionalisme kru produksi yang amat bertolak ansur dengan kekangan fizikalnya pasca-pembedahan membuang tumor pada Oktober tahun lalu.
“Saya amat berterima kasih kepada pengarah dan seluruh pasukan produksi kerana mereka sangat memahami had kemampuan saya selepas pembedahan tulang tersebut.
“Segala babak yang melibatkan aksi lasak atau sentuhan fizikal yang agresif telah diubah suai mengikut kesesuaian tahap kecergasan saya sekarang.
“Memang ada beberapa babak berat yang tidak mampu saya laksanakan seperti waktu sihat dahulu, namun semua pelakon dan pihak penerbitan memberikan kerjasama yang luar biasa serta sangat bertolak ansur dengan keadaan saya,” katanya.
Selain Shahronizam, naskhah arahan pengarah berwibawa Jamal Khan itu turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Aaron Aziz, Nadiya Nisaa, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, dan Idzham Ismail, yang mana ia mula menemui penonton di aplikasi Viu bermula esok.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

